SCGBHD dijangka catat prestasi lebih kukuh

SCGBHD dijangka catat prestasi lebih kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  SCG Cable Berhad (SCGBHD) dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2025 dengan momentum prestasi berpotensi berterusan ke suku pertama tahun kewangan 2026, walaupun projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah selesai.

Hong Leong Investment Bank berkata., unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 mengambil kira sumbangan setahun penuh daripada pengembangan kapasiti yang dilaksanakan tahun lalu. 

“Terdapat potensi peningkatan prestasi sekiranya kapasiti tambahan kira-kira 4,000 kilometer dapat mencapai tahap operasi lebih awal daripada jangkaan, selain margin keuntungan yang lebih baik susulan pentauliahan relau aluminium baharu syarikat.

“Dalam pada itu, rancangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengehadkan secara berperingkat import kabel 132 kV (kiloVolt) sejajar dengan peningkatan kapasiti domestik, dijangka menyokong permintaan terhadap rangkaian produk 132 kV SCGBHD yang bakal diperkenalkan. 

“Sehubungan itu, syor beli dikekalkan dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.59, berdasarkan penilaian 22 kali pendapatan sesaham (EPS) anggaran tahun kewangan selepas pencairan penuh,” katanya dalam nota penyelidikan.

SCGBHD dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan suku ke suku yang kukuh pada suku keempat 2025, dipacu oleh peningkatan penghantaran berkaitan ECRL. 

Ini didorong oleh peningkatan lanjut penghantaran berkaitan ECRL, sekali gus membawa pendapatan teras tahun kewangan 2025 mencapai unjuran kami sebanyak RM130.9 juta

Momentum ini dilihat berterusan ke suku pertama 2026, disokong oleh tunggakan pesanan kabel 132 kV berkaitan projek solar yang dijadualkan untuk dilaksanakan selepas penyiapan ECRL, sekali gus memastikan kadar operasi jangka pendek yang baik.

Firma penyelidikan itu berkata, sekiranya kadar operasi ini dapat dikekalkan atau dipertingkatkan, terdapat risiko peningkatan kepada unjuran pendapatan teras tahun kewangan 2026 sebanyak RM151 juta. 

Model semasa mengunjurkan pertumbuhan hasil sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan 2026, didorong terutamanya oleh impak setahun penuh pengembangan kapasiti daripada kira-kira 47,000 kilometer pada awal tahun kepada 54,000 kilometer menjelang akhir tahun.

Risiko peningkatan wujud sekiranya kapasiti tambahan sekitar 4,000 kilometer, yang sebelum ini dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun kewangan 2026, dapat dipercepatkan dan prestasi margin melebihi jangkaan susulan pentauliahan relau aluminium. 

Program pengembangan tahun kewangan 2026 tertumpu di Loji A melibatkan pemasangan relau aluminium, penggantian kapasiti sedia ada serta pemasangan baharu terpilih. 

Apabila beroperasi sepenuhnya, ia dijangka meningkatkan pengeluaran rod aluminium sehingga tiga kali ganda dan menaikkan kapasiti kabel keseluruhan kepada kira-kira 59,000 kilometer (sembilan peratus). 

SCGBHD kini berada di peringkat akhir pensijilan produk kabel 132kV, dengan pengkomersialan disasarkan pada separuh pertama tahun kewangan 2026. 

Pemeriksaan saluran pasaran menunjukkan bahawa TNB sedang bersedia untuk mengehadkan secara berperingkat import kabel 132 kV apabila kapasiti domestik meningkat.

Perkembangan ini dijangka memberi kesan positif yang ketara kepada SCGBHD, memandangkan jumlah import berkemungkinan digantikan secara langsung oleh pesanan tempatan, sekali gus menghasilkan pengisian kapasiti yang pantas dan berketelusan tinggi. 

Limpahan kepada pesaing lain seperti Power Cable, yang juga merupakan antara tiga pembekal 132 kV, dilihat terhad berikutan kekangan kapasiti sedia ada dan tempoh menunggu yang panjang antara enam hingga sembilan bulan.

Secara keseluruhan, sekatan import ini dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan utama kepada SCGBHD, khususnya dengan rangkaian produk 132kV yang lebih luas daripada 800 milimeter persegi sehingga 1,800 milimeter persegi yang sesuai untuk projek grid arus terus (DC) dan projek grid Tenaga, segmen yang sebelum ini mempunyai pendedahan terhad dalam portfolio syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN