PETALING JAYA: Program SARA Untuk Semua yang bakal diterima minggu depan memberi kesan positif kepada kuasa beli rakyat, sekali gus merancakkan semula aktiviti ekonomi domestik, khususnya menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, walaupun bersifat sementara, program ini memberi impak besar terhadap peningkatan daya beli golongan sasar.
“Bantuan yang disalurkan membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan asas dengan lebih mudah, sekali gus mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah tambahan pula kita akan memasuki musim perayaan tidak lama lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Rizal, dari sudut ekonomi, beliau berkata, program ini turut memberi kesan limpahan kepada sektor peruncitan.
“Peningkatan jualan di pasar raya terlibat seperti Mydin, misalnya, bukan sahaja merancakkan aktiviti ekonomi tetapi juga berpotensi meningkatkan kutipan cukai kepada kerajaan melalui hasil jualan yang lebih tinggi.
“Sehubungan itu, SARA disaran untuk diteruskan dengan penambahbaikan dari segi jumlah bantuan yang lebih munasabah selari dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Program SARA Untuk Semua yang menyediakan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mula disalurkan bermula Isnin ini.
Sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi memanfaatkan semua warganegara tanpa perlu membuat sebarang permohonan dan bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima.
Sementara itu, Ahli ekonomi Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, SARA masih perlu diteruskan dan kekal relevan, memandangkan masih terdapat golongan yang memerlukan bantuan fiskal walaupun telah menerima pelbagai bentuk bantuan lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan zakat.
Menurut beliau, SARA merupakan program bantuan yang fleksibel dan boleh diubah suai mengikut keadaan semasa ekonomi.
“Impaknya, program ini berupaya membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan risiko berlakunya masalah sosial dan isu-isu lain yang lebih serius,” katanya.
Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das pula berkata, sumbangan SARA pada minggu hadapan memberi kelegaan tepat pada masanya kepada isi rumah berpendapatan rendah yang terus berdepan tekanan kos sara hidup.
“Bagi keluarga B40 dan golongan rentan, bantuan ini membantu menampung perbelanjaan keperluan asas seperti makanan dan barangan keperluan harian, sekali gus mengurangkan beban kewangan jangka pendek di peringkat isi rumah,” katanya.
Dari sudut ekonomi, Paul berkata, bantuan bersasar seperti SARA lazimnya akan dibelanjakan dengan segera, sekali gus memberi manfaat kepada peruncit tempatan dan pembekal barangan keperluan asas, di samping membantu menstabilkan tahap penggunaan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.
“Namun begitu, bantuan ini wajar dilihat sebagai langkah sokongan jangka pendek dan bukannya penyelesaian jangka panjang, memandangkan peningkatan mampan taraf hidup bergantung kepada pertumbuhan pendapatan, penciptaan peluang pekerjaan serta pembaharuan struktur ekonomi yang lebih menyeluruh,” katanya. – UTUSAN










