PETALING JAYA: Salis Pop Rice, snek beras pulut siap dimakan keluaran SAS Food Sdn. Bhd., kini mampu mencatatkan kapasiti pengeluaran sehingga satu tan sebulan, selain memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengasasnya, Sally Basir berkata, produk berkenaan telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak 2018 dan status pensijilan itu masih sah sehingga 2027.
Menurut beliau, kapasiti pengeluaran semasa membuka potensi perniagaan untuk menjana purata jualan bulanan antara RM30,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jumlah pengeluaran, kos operasi serta saluran pemasaran yang digunakan.
“Prestasi semasa menunjukkan potensi pertumbuhan yang baik dan boleh dipertingkatkan lagi melalui sokongan pembiayaan serta pengembangan pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, hasrat mendapatkan pensijilan halal timbul daripada komitmen syarikat untuk memastikan produk Pop Rice mematuhi piawaian halal dan berkualiti tinggi.
“Pensijilan ini memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa produk kami selamat dan bersih untuk dinikmati.
“Memiliki sijil halal juga merupakan langkah strategik bagi memperluas pasaran termasuk ke pasar raya, stesen minyak, kiosk serta pelanggan yang lebih sensitif terhadap status halal,” ujarnya.
Bagaimanapun, Sally mengakui syarikat berdepan beberapa cabaran sepanjang proses permohonan sijil halal.
“Antaranya melibatkan proses dokumentasi dan pematuhan standard yang ketat, memastikan keterjaminan semua bahan mentah, pematuhan kakitangan serta proses pengeluaran yang perlu memenuhi keperluan piawaian Jakim.
“Namun begitu, kami melihat cabaran ini sebagai peluang untuk menambah baik proses operasi, kawalan kualiti dan kredibiliti jenama, sekali gus membina asas lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Mengulas perancangan syarikat, beliau berkata, selepas memperoleh sijil halal, pihaknya merancang untuk memperluas pengedaran produk secara lebih strategik, termasuk memasuki pasar raya, pasar raya besar, stesen minyak dan kiosk, selain memperkukuh saluran e-dagang.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan keterlihatan dan capaian produk, memperkukuh jenama serta menambah jualan dan keuntungan.
“Strategi pemasaran yang menekankan status halal dan kualiti produk turut akan diperkasakan bagi memastikan Pop Rice muncul sebagai snek tempatan yang berdaya saing dan dipercayai pengguna,” jelasnya.
Tambahnya, pemilikan pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan, malah membuka peluang pengembangan pasaran lebih luas serta meningkatkan kredibiliti dan profesionalisme jenama.
“Pematuhan kepada standard halal juga mendorong penambahbaikan kawalan kualiti dan proses operasi, sekali gus memastikan produk sentiasa selamat dan berkualiti tinggi. – UTUSAN










