PETALING JAYA: Segmen perumahan berharga antara RM300,000 hingga RM600,000 di kawasan pinggir Kuala Lumpur, tanah besar Pulau Pinang dan Johor dijangka mengatasi segmen pasaran lain tahun ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, ia didorong permintaan berterusan daripada pelabur serta pembeli kediaman yang ingin menaik taraf atau membentuk isi rumah baharu.
“Hartanah runcit pula menerima rangsangan berganda dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menyasarkan 47 juta pelancong, manakala penggunaan domestik terus berkembang secara stabil.
“Kedua-duanya dijangka meningkatkan jualan di lokasi runcit utama di kawasan pelancongan dan daerah beli-belah utama. Pusat beli-belah yang berlokasi strategik dengan campuran penyewa yang baik akan mengatasi prestasi pusat beli-belah lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, prospek hartanah pejabat adalah positif, namun tidak menyeluruh seperti sektor lain dan memerlukan penilaian yang lebih berlapik.
“Bekalan berlebihan bangunan pejabat masih wujud, khususnya di Lembah Klang.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan membantu penyewa menyerap sebahagian ruang kosong, namun kami tidak menjangkakan kadar sewaan pejabat meningkat,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, dalam pasaran pejabat, pemenang adalah bangunan Gred A yang mematuhi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pejabat yang menyokong syarikat teknologi, kewangan dan perkhidmatan berkongsi.
“Stok pejabat lama dan tidak strategik akan terus berdepan cabaran tanpa mengira pertumbuhan ekonomi. Bagi sesetengah bangunan ini, pilihan terbaik mungkin pembangunan semula atau penukaran kepada kegunaan kediaman.
“Berdasarkan semua faktor ini, pasaran hartanah berpotensi mencatat prestasi kukuh pada 2026.
“Prestasi tersebut adalah hasil daripada kejutan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pembuatan, eksport, pelancongan dan penggunaan telah mendorong ekonomi berkembang lebih pantas tanpa meningkatkan inflasi.
“Pengurusan yang baik oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut membantu. Bagi sektor hartanah, hasilnya ialah satu tahun penuh peluang merangkumi sektor perindustrian, kediaman dan runcit,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelabur hartanah perlu memahami faktor yang memacu pertumbuhan ini.
“Eksport elektrik dan elektronik berkembang pada kadar dua digit, yang secara langsung meningkatkan permintaan terhadap hartanah perindustrian.
“Pelancongan pula telah pulih sepenuhnya ke paras 2019 dengan pelawat dari China melebihi 20 peratus daripada jumlah pra-pandemik. Ini merupakan berita baik untuk hartanah runcit, hospitaliti dan sewaan jangka pendek.
“Dalam pada itu, pasaran kediaman turut menerima manfaat kerana penggunaan swasta terus berkembang sekitar 5 peratus tahun ke tahun, gaji meningkat dan kadar pengangguran menurun kepada 3 peratus,” katanya.
Sementara itu, Kashif berkata, pasukan IQI menjangkakan inflasi kekal pada tahap selamat sekitar 1.4 hingga 1.7 peratus.
“Ini membolehkan BNM mengekalkan kadar faedah yang stabil sepanjang 2026.
“Pertumbuhan ekonomi, kadar faedah yang stabil dan inflasi rendah mewujudkan persekitaran ideal untuk hartanah, sekali gus menggalakkan permintaan sebenar daripada pembeli kediaman dan perniagaan,” katanya. – UTUSAN










