Risiko El-Nino ancam bekalan dan harga minyak sawit

Risiko El-Nino ancam bekalan dan harga minyak sawit

TA Securities mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan andaian harga purata MSM hanya cecah RM4,000 setan bagi sepanjang 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Risiko fenomena El Nino pada tempoh separuh kedua 2026 dinilai sebagai isu kritikal yang boleh mengancam bekalan dan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut TA Securities.

Firma pembrokeran berkata, sektor perladangan memasuki 2026 dalam persekitaran cabaran iklim serta aliran perdagangan global yang kompleks, termasuk kelewatan pelaksanaan mandat biodiesel B50 Indonesia.

Katanya, walaupun permintaan struktur terhadap MSM kekal kukuh, hala tuju harga komoditi itu masih dipacu faktor bekalan, khususnya ketidaktentuan pengeluaran akibat perubahan cuaca secara negatif.

“Justeru, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan dengan andaian harga purata MSM hanya cecah RM4,000 setan bagi sepanjang 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.

Ia merujuk laporan berhubung amaran risiko tinggi El Nino terbentuk pada separuh kedua 2026 susulan perubahan corak cuaca Lautan Pasifik, apabila La Nina berubah semakin lemah ketika suku pertama tahun ini.

Secara sejarah, data menunjukkan El Nino berlaku sebanyak 28 kali sejak 1950 berbanding 25 kali La Nina, dengan beberapa situasi kuat memberi kesan besar terhadap hasil pertanian, termasuk MSM.

Mengulas lanjut, TA Securities berkata, pokok kelapa sawit lebih sensitif kepada El Nino berbanding La Nina, seperti pada 1997-1998 dan 2015-2016 menyaksikan kemerosotan pengeluaran ketara hampir dua tahun.

“Sebaliknya, La Nina lemah lazimnya menyokong pertumbuhan hasil selepas tempoh sekitar enam bulan, kerana taburan hujan membantu pemulihan pokok tanpa menjejaskan operasi penuaian,” katanya. 

Bagi senario asas 2026, firma itu menjangkakan fasa pemulihan pengeluaran susulan kesan El Nino tertunda lalu, dengan harga MSM diunjur bergerak dalam julat RM3,500 hingga RM4,000 satu tan.

“Bagaimanapun, jika El Nino baharu muncul pertengahan 2026, pertumbuhan pengeluaran boleh terjejas dan mencetuskan lonjakan harga hingga RM5,500 pada separuh kedua akibat bekalan kurang,” katanya.

Lonjakan harga kelazimannya berlaku ketika gangguan bekalan, bukan peningkatan permintaan semata-mata, seperti semasa El Nino dan pandemik Covid-19 apabila harga pernah mencecah RM7,000 satu tan.

Justeru, saham perladangan huluan seperti KLK, TSH Resources dan United Malacca dilihat lebih sensitif kepada turun naik harga MSM memandangkan hasilnya yang bergantung secara langsung.

Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas tiga syarikat tersebut, namun masih mengekalkan syor ‘pegang’ bagi Kim Loong, serta ‘jual’ terhadap saham IOI Corporation dan SD Guthrie.

Firma itu turut mengingatkan risiko utama lain termasuk isu gangguan bekalan kacang soya di rantau Amerika Selatan, pemulihan permintaan global yang perlahan serta kos pengeluaran yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN