Raja Teh Maimunah dilantik CEO baharu Bank Islam - Utusan Malaysia

Raja Teh Maimunah dilantik CEO baharu Bank Islam

RAJA TEH MAIMUNAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melantik Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuat kuasa 1 April ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohd. Muazzam Mohamed yang telah bersara awal pada Disember 2025 setelah lebih sedekad berjasa di Bank Islam.

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, kepimpinan Raja Teh Maimunah yang terbukti dalam industri kewangan dan inovasi digital adalah sejajar dengan aspirasi strategik kumpulan.

“Sebagai peneraju perbankan Islam Malaysia, Bank Islam sentiasa berubah seiring keperluan negara.

“Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinan beliau, kumpulan akan terus memperkukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi dan menyampaikan nilai mampan kepada semua pemegang taruh, pada masa sama menjunjung standard tertinggi syariah dan integriti,” katanya dalam kenyataan.

Pelantikan itu adalah hasil daripada proses pencarian yang rapi dan menyeluruh, di mana Lembaga Pengarah telah menilai dengan teliti sekumpulan besar calon yang berkelayakan tinggi.

Setelah pertimbangan mendalam, Lembaga Pengarah telah memutuskan bahawa Raja Teh Maimunah merupakan calon terbaik untuk memimpin kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Selain rekod pencapaian dalam kepimpinan strategik dan kecemerlangan operasi yang luas, beliau secara konsisten telah menunjukkan keserasian dengan nilai teras, termasuk pematuhan prinsip-prinsip syariah yang menjadi asas kepada operasi dan tadbir urus Bank Islam.

Sebelum menyertai Bank Islam, Raja Teh Maimunah adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ΑΕΟΝ Bank (M) Bhd.

Beliau telah berjaya menerajui pelancaran bersejarah bank digital Islam pertama di Malaysia.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau merupakan perancang utama di sebalik infrastruktur natif awan teras bank tersebut, sekali gus meletakkan penanda aras baharu bagi inovasi digital patuh syariah.

Dalam pada itu, kerjaya beliau selama 30 tahun meliputi jawatan kanan di beberapa institusi kewangan terkemuka termasuk sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Islam Global di Bursa Malaysia, di mana beliau merintis pelancaran Bursa Suq Al-Sila’, sebuah platform dagangan komoditi patuh Syariah pertama dunia.

Sebagai mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan Raja Teh Maimunah terhadap industri, beliau telah diberi penghormatan sebagai Personaliti Kewangan Islam Terbaik pada 2016 dan Anugerah Ahli Perbankan Wanita Cemerlang ASEAN pada 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN