Petronas Chemicals rugi RM2.1 bilion pada tahun kewangan 2025

Petronas Chemicals rugi RM2.1 bilion pada tahun kewangan 2025

PETRONAS Chemicals Group
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) berjumlah RM2.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan RM1.29 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Kerugian itu disebabkan oleh Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) lebih rendah serta peningkatan kerugian pertukaran asing susulan penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PPCSB).

Bagi tahun kewangan tersebut, PCG meraih pendapatan berjumlah RM27.5 bilion, disokong oleh jumlah jualan yang stabil merentas portfolio komoditi dan bahan kimia khusus.

Pada suku keempat 2025, kumpulan mencatat kerugian bersih RM730 juta berbanding kerugian RM291 juta pada suku sebelumnya.

PCG berkata, ia turut disebabkan oleh pendapatan kewangan yang lebih rendah susulan pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar, serta kerugian pertukaran mata wang asing daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPCSB.

“Sektor kimia berdepan dengan cabaran pada 2025, berikutan dengan kapasiti berlebihan berterusan, permintaan global yang lemah serta peningkatan tekanan persaingan di rantau Asia-Pasifik berikutan kapasiti baharu di pasaran.

“Keadaan lebihan bekalan yang berterusan dari Asia Timur Laut dan Timur Tengah, serta perubahan dasar geoekonomi serta ketegangan perdagangan dan gangguan tarif terus menjejaskan akses pasaran, harga dan margin.

“Kumpulan juga mencatatkan kadar pengunaan loji sebanyak 88 peratus bagi 2025, walaupun menghadapi kerja penyelenggaraan besar yang telah dijadualkan termasuk aktiviti pemulihan di PC Fertiliser Sabah.

“PCG juga berdepan gangguan pengeluaran akibat gangguan utiliti yang tidak dijadualkan di Kertih Integrated Petrochemical Complex (KIPC) pada Januari, serta gangguan stok suapan di PC Fertiliser Kedah susulan insiden Putra Heights pada April 2025,” katanya dalam kenyataan.

PCG telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4.0 sen sesaham biasa dengan pengagihan berjumlah RM320 juta kepada para pemegang saham.

PCG turut menunjukkan daya tahan merentasi portfolio yang pelbagai, disokong oleh prestasi kukuh untuk segmen Baja dan Metanol (F&M).

“Pencapaian ini didorong oleh permintaan urea yang stabil di India, Australia dan Amerika Latin, serta peningkatan jualan metanol melalui inisiatif perolehan strategik.

“Segmen O&D telah mencatatkan prestasi yang lebih sederhana disebabkan harga purata produk yang lebih rendah berikutan permintaan hiliran yang menurun, ketegangan geoekonomi yang berterusan serta jumlah jualan yang lebih rendah.

“Prestasi segmen juga dipengaruhi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula perdagangan belum bayar yang lebih tinggi.

“Ia turut disebabkan oleh pendapatan kewangan yang lebih rendah susulan pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar, serta susut nilai dan kos kewangan tinggi di PPCSB,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN