Pengukuhan ringgit hasil kepimpinan yang utuh

Pengukuhan ringgit hasil kepimpinan yang utuh

AHMAD FARHAN FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengukuhan ringgit yang melonjak ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, mencerminkan keyakinan yang semakin utuh terhadap asas ekonomi negara. 

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahamd Farhan Fauzi berkata, dalam suasana global yang masih mencabar, pencapaian ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia berada di landasan yang stabil dan diyakini pasaran.

Katanya, prestasi memberangsangkan ini mencerminkan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin kerajaan, khususnya dalam konteks memastikan kestabilan politik serta hala tuju dasar ekonomi yang konsisten. 

“Langkah mengurus perbelanjaan negara secara berdisiplin, membanteras ketirisan dan memperkukuh tadbir urus telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pelabur serta komuniti perniagaan.

“Bagi rakyat marhaen yang bekerja keras menyara keluarga, pengukuhan ringgit membawa impak positif yang nyata dalam kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook hari ini.

Beliau berkata, nilai mata wang yang lebih kukuh membantu meringankan kos import barangan keperluan asas serta menyumbang kepada kestabilan harga yang memberi ruang kepada kerajaan untuk terus memperluas bantuan dan perlindungan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat.

“Keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat turut membuka peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor-sektor penting seperti teknologi, pembuatan lanjutan dan tenaga boleh diperbaharui. 

“Apabila lebih banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka, maka lebih luas peluang-peluang ekonomi yang tersedia bagi anak muda dan usahawan tempatan,” jelasnya.

Tambahnya, pengukuhan berterusan ringgit menyampaikan mesej bahawa dasar ekonomi yang dilaksanakan secara bijaksana, konsisten dan berintegriti mampu memulihkan keyakinan serta membawa manfaat terus kepada rakyat. 

“Pengukuhan ini bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi gambaran jelas bahawa usaha kerajaan hari ini, di bawah kepimpinan cemerlang Perdana Menteri telah mula membuahkan hasil yang nyata,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN