Penang Port peroleh bot tunda 50 tan pertama - Utusan Malaysia

Penang Port peroleh bot tunda 50 tan pertama

Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) peroleh PM SATU, sebuah bot tunda generasi baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mengumumkan era baharu dalam keupayaan perkhidmatan marin melalui ketibaan PM SATU, sebuah bot tunda generasi baharu yang direka untuk memenuhi keperluan industri berprestasi tinggi sambil memelihara kelestarian alam sekitar.

PPSB berkata, PM SATU yang dikendalikan oleh kontraktor yang baru dilantik, Baiduri Dimensi tiba di perairan Pulau Pinang pada 29 Januari lalu dan telah memulakan operasi sepenuhnya pada 1 Februari, menandakan satu detik penting dalam perjalanan kelestarian PPSB.

Katanya, ketibaan PM SATU meningkatkan kapasiti bollard pull bot tunda kami kepada 50 tan, iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus daripada standard terdahulu sebanyak 45 tan.

“Peningkatan ini secara langsung memenuhi trend global kapal kargo yang kini semakin besar ukurannya.

“Dengan kapasiti yang dipertingkatkan, kami kini mampu mengendalikan kapal kontena, kapal pukal (bulk carriers) dan kapal tangki yang lebih besar dengan sokongan navigasi serta keselamatan yang lebih mantap.

“Bagi pelanggan kami, ia membawa kepada masa pusing balik (turnaround time) yang lebih singkat, penjimatan ketara bagi caj pelabuhan serta pengurangan masa menunggu yang merugikan,” katanya dalam kenyataan.

PPSB berkata, pihaknya kini dilengkapi sepenuhnya untuk membantu pelanggan mengoptimumkan masa kapal mereka di laut, memastikan Pelabuhan Pulau Pinang terus menjadi hab yang pantas, cekap dan ekonomik selaras dengan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan maritim.

Tambahnya, selain operasi pelabuhan sendiri, PM SATU turut memperluaskan peranannya melalui perkhidmatan Ship-to-Ship (STS) untuk Andaman Port Sdn. Bhd.

“Kerjasama ini melibatkan sokongan pemindahan minyak dan gas, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pintu masuk yang boleh dipercayai bagi wilayah utara.

“Melalui kerjasama ini, kami menyumbang kepada pertumbuhan serantau dan menggalakkan kelancaran operasi maritim untuk keseluruhan industri. Di sebalik ketahanan mekanikalnya, PM SATU menekankan fokus strategik PPSB terhadap kelestarian,” ujarnya.

Menurutnya, bot tunda ini dilengkapi keupayaan kuasa darat (shore power), yang membolehkan ia disambung terus ke bekalan kuasa darat.

“Inovasi ini mengurangkan keperluan penggunaan enjin tambahan berkuasa diesel ketika berlabuh, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api secara signifikan.

“Ketibaan PM SATU bukan sekadar penambahan bot tunda, tetapi satu pernyataan jelas tentang hala tuju PPSB. Ia membuktikan bahawa Pelabuhan Pulau Pinang berjaya menggabungkan kemampuan industri berat dengan teknologi hijau,” katanya.

Jelasnya, sementara menantikan ketibaan bot tunda kedua, PM DUA, PPSB terus menerajui penyediaan penyelesaian maritim bertaraf tinggi dan lestari yang menyokong pertumbuhan ekonomi serta tanggungjawab terhadap alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN