PETALING JAYA: Kemasukan pelancong China ke Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dijangka meningkat antara 30 hingga 50 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang menerima manfaat global terbesar sepanjang tempoh cuti tersebut.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, ia juga sebahagiannya hasil kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang telah menunjukkan kejayaan awal.
“Malaysia ialah penerima pelawat terbesar dalam unjuran kami, diikuti Dubai (20 peratus hingga 45 pertus), Singapura (15 peratus ke 30 peratus) dan Thailand (10 peratus hingga 30 peratus.
“Sebaliknya, destinasi yang menerima nasihat perjalanan daripada kerajaan China akan menyaksikan penurunan ketara kunjungan sempena Tahun Baharu Cina, khususnya Amerika Syarikat (AS) menurun 30 peratus hingga 40 peratus dan Jepun (35 peratus hingga 45 peratus).
“Kunjungan ke Eropah juga dijangka menurun. Walaupun Eropah destinasi menarik, kos yang lebih tinggi, tempoh perjalanan lebih panjang serta musim sejuk yang biasanya dianggap luar musim pelancongan akan mengehadkan jumlah pelawat China pada cuti ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Malaysia menerima 1.4 juta pelawat China dalam empat bulan pertama 2025, peningkatan 38 peratus tahun ke tahun, manakala pihak berkuasa menetapkan sasaran 10 juta pelawat China pada 2026, naik 43 peratus berbanding 2025.
“Kemasukan tanpa visa, tempoh penerbangan sekitar empat jam dari kebanyakan bandar di China, serta persekitaran dwibahasa Cina-Inggeris terus mengurangkan halangan perjalanan.
“Kami percaya Malaysia sangat menepati corak perjalanan Tahun Baharu Cina.
“Ia sesuai untuk keluarga pelbagai generasi, menawarkan makanan, membeli-belah dan pengalaman budaya yang menarik, selain pelaburan besar dalam promosi melalui platform tempahan dalam talian (OTA) China, syarikat penerbangan dan pempengaruh.
“Rakyat China juga mendahului pelaburan hartanah asing di Malaysia dan merupakan peserta paling ramai dalam program visa pemastautin jangka panjang, merangkumi 57 peratus pemegang visa Malaysia My Second Home (MM2H).
“Kami menjangkakan lonjakan kunjungan semasa musim cuti ini akan diterjemahkan kepada peningkatan pertanyaan dan lawatan tapak hartanah sepanjang suku pertama, walaupun urus niaga mungkin dimuktamadkan kemudian dalam tahun ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai konteks pembelian rumah pada Tahun Baharu Cina, katanya, perayaan itu merupakan tempoh perjalanan antarabangsa paling tertumpu dalam kalendar China, dengan kira-kira 3.8 juta rakyat China ke luar negara pada cuti tahun lalu.
“Pelancongan dan pembelian rumah berkait rapat, namun tidak berlaku secara satu ke satu.
“Sebaliknya, pasaran yang paling kerap dikunjungi keluarga China juga cenderung menjadi pasaran utama pembelian hartanah, sama ada untuk rumah kedua, kegunaan anak belajar atau pangkalan jangka panjang.
“Pembeli dari China lazimnya membuat beberapa lawatan fizikal sebelum memuktamadkan pembelian rumah di luar negara dan menggunakan perjalanan cuti untuk menilai kejiranan, sekolah, keselamatan dan kesesuaian gaya hidup.
“Justeru, pasaran yang menerima jumlah pelawat China lebih tinggi semasa musim cuti utama seperti Tahun Baharu Cina secara konsisten mencatat lebih banyak transaksi dalam bulan-bulan berikutnya,” katanya.
Tambahnya, bagi Tahun Baharu Cina 2026, pihaknya menjangkakan corak pertanyaan hartanah akan seiring dengan aliran pelancongan.
“Ini dengan minat lebih kukuh di Asia Tenggara dan Dubai, manakala momentum lebih perlahan di AS, Jepun dan Eropah,” katanya. – UTUSAN










