Pelaksanaan peralihan tenaga negara perlu libat semua sektor - Utusan Malaysia

Pelaksanaan peralihan tenaga negara perlu libat semua sektor

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar tenaga negara serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional telah tersedia sebagai panduan utama, namun tumpuan kini perlu diberikan kepada pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan semua sasaran pembangunan tenaga dan pertumbuhan ekonomi mampan dapat dicapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejayaan peralihan tenaga bukan sekadar bergantung kepada sektor tenaga semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh merangkumi sektor kewangan, penyedia tenaga, pengendali grid, pembekal teknologi serta rakyat.

“Dasar dan pelan hala tuju sudah ada. Kini yang lebih penting adalah bagaimana kita melaksanakan pelan ini secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Pengurusan Kelestarian dan Peralihan Tenaga sempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di sini hari ini.

Menurut beliau, penglibatan semua pihak bukan sahaja diperlukan dalam aspek penjanaan dan pengagihan tenaga, malah turut merangkumi usaha meningkatkan kecekapan tenaga di semua peringkat.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk beralih kepada penggunaan peralatan cekap tenaga supaya penggunaan tenaga dapat diukur, dijimatkan dan diurus dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut perlu melibatkan individu, komuniti, sektor kerajaan serta sektor swasta bagi memastikan manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati secara menyeluruh.

Mengulas isu keterjangkauan harga tenaga, Fadillah berkata, harga tenaga pada masa hadapan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kos dan sumber tenaga, memandangkan negara masih bergantung kepada sumber seperti gas.

Katanya, sekiranya berlaku peningkatan harga tenaga, kerajaan perlu memastikan mekanisme perlindungan diwujudkan bagi menjamin kumpulan berpendapatan rendah dan golongan memerlukan terus mendapat bekalan tenaga.

“Prinsip keterangkuman amat penting. Tiada sesiapa harus ketinggalan dalam apa jua aspek peralihan tenaga ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyeimbangkan tiga dilema utama sektor tenaga iaitu keselamatan tenaga, keterjangkauan harga dan kemampanan alam sekitar bagi memastikan peralihan tenaga negara berjalan secara adil dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN