Pelabur asing kekal aliran masuk bersih RM377.2 juta minggu lalu

Pelabur asing kekal aliran masuk bersih RM377.2 juta minggu lalu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keenam berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih asing sebanyak RM377.2 juta minggu lalu, kira-kira 25 kali lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.

MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan, dengan aliran keluar hanya direkodkan pada hari Jumaat sebanyak RM178.4 juta. 

“Aliran masuk terbesar dicatatkan pada hari Rabu (RM281.7 juta), diikuti Isnin (RM135.8 juta), Khamis (RM100.4 juta) dan Selasa (RM37.7 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM195.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM64.7 juta) serta pembinaan(RM58.0 juta). 

“Sementara itu, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi ialah penjagaan kesihatan (RM38.2 juta), teknologi (RM28.6 juta) dan perladangan (RM16.2 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 13 Februari 2026.

Selain itu, institusi tempatan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM211.5 juta, menjadikannya minggu kedua berturut-turut mencatatkan jualan bersih, pada kadar kira-kira 5.8 kali lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali menjadi penjual bersih selepas mencatatkan aliran masuk pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM165.7 juta.

“Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan secara menyeluruh pelabur runcit tempatan turun 11.1 peratus, institusi tempatan 21.7 peratus dan pelabur asing 4.2 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN