PETALING JAYA: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut minggu lalu di Bursa Malaysia, mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM12.8 juta, sekitar 40 kali ganda kurang daripada minggu sebelumnya.
MBSB Investment Bank Berhad berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan, dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada hari Isnin sebanyak RM135.3 juta, diikuti oleh hari Selasa (RM68.1 juta) dan Khamis (RM42.6 juta).
Katanya, aliran keluar terbesar dilihat pada hari Jumaat sebanyak RM128.1 juta dan Rabu (RM105.2 juta).
“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah telekomunikasi & media (RM16.6 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM14.8 juta) dan teknologi (RM8.1 juta).
“Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM482.8 juta), utiliti (RM258.2 juta) dan perladangan (RM75.9 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 30 Januari 2026.
Bank pelaburan berkata, institusi tempatan melanjutkan rentetan pembelian bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM532.3 juta.
“Sementara itu, peruncit tempatan merupakan penjual bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM545.1 juta minggu lepas.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan meluas peruncit tempatan sebanyak 4.0 peratus, institusi tempatan (25.7 peratus) dan pelabur asing (50.8 peratus),” jelasnya. – UTUSAN









