Panduan pilih rumah berketumpatan tinggi yang selesa

Panduan pilih rumah berketumpatan tinggi yang selesa

PEMBELI digalakkan mendapatkan maklumat jumlah lif bagi setiap blok, kapasiti muatan dan zon servisnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBELI kediaman berketumpatan tinggi seperti apartmen atau kondominium kini menjadi pilihan utama pembeli rumah pertama, khususnya di kawasan bandar yang berdepan kekangan tanah dan harga hartanah yang tinggi.

Harga yang lebih rendah berbanding rumah bertanah serta lokasi strategik berhampiran pengangkutan awam sering menjadi tarikan utama. 

Namun, tidak semua projek berketumpatan tinggi menawarkan kualiti hidup yang selesa.

Tanpa penelitian, pembeli berisiko berdepan masalah seperti kesesakan kemudahan, kos penyelenggaraan tinggi dan persekitaran yang kurang kondusif.

Minggu ini, Ringgit berkongsi panduan penting yang boleh dijadikan rujukan sebelum membuat keputusan membeli rumah berketumpatan tinggi.

Semak nisbah unit dengan lif dan kemudahan utama

Jumlah unit yang terlalu banyak berbanding bilangan lif boleh menyebabkan masa menunggu panjang setiap hari, khususnya pada waktu puncak seperti pagi bekerja dan malam. 

Situasi ini bukan sahaja melambatkan pergerakan, malah memberi tekanan kepada penghuni yang mempunyai jadual ketat.

Pembeli digalakkan mendapatkan maklumat jumlah lif bagi setiap blok, kapasiti muatan dan zon servisnya. 

Selain lif, semak juga nisbah kemudahan utama seperti tempat letak kenderaan, kolam renang, gimnasium dan dewan serbaguna. 

Kemudahan yang kelihatan menarik di brosur boleh menjadi terlalu sesak jika tidak sepadan dengan jumlah penghuni.

Nilai kepadatan projek secara keseluruhan

Kepadatan tidak hanya diukur melalui ketinggian bangunan, tetapi juga jumlah keseluruhan unit dalam satu pembangunan. 

Projek dengan banyak blok dan ribuan unit dalam kawasan terhad lazimnya memberi tekanan kepada ruang bersama dan infrastruktur dalaman.

Teliti pelan induk projek untuk melihat keluasan tapak, peratusan kawasan lapang, susun atur blok dan jarak antara bangunan. 

Pembangunan yang mempunyai zon hijau, laluan pejalan kaki dan ruang pernafasan antara blok biasanya menawarkan persekitaran lebih selesa serta kurang rasa sesak.

Periksa kadar dan komponen yuran penyelenggaraan

Yuran penyelenggaraan bulanan adalah komitmen jangka panjang yang sering dipandang ringan oleh pembeli rumah pertama. 

Jumlahnya mungkin kelihatan kecil pada awalnya, namun akan memberi kesan besar kepada bajet bulanan dalam tempoh bertahun tahun.

Semak kadar semasa setiap kaki persegi, pecahan caj perkhidmatan, dana penyelenggaraan dan apa yang diliputi seperti kawalan keselamatan, pembersihan, penyelenggaraan lif dan fasiliti. 

Yuran yang terlalu rendah boleh menandakan perkhidmatan tidak mencukupi, manakala yuran tinggi perlu dinilai sama ada setimpal dengan mutu pengurusan dan keadaan kemudahan.

Teliti reputasi pemaju dan pengurusan bangunan

Rekod prestasi pemaju memberi petunjuk awal tentang kualiti binaan, pematuhan jadual penyerahan dan tahap penyelesaian kecacatan. 

Pembeli boleh menyemak projek terdahulu serta mendapatkan maklum balas penghuni melalui lawatan tapak atau sumber awam.

Bagi projek yang telah siap dan diduduki, perhatikan keadaan kawasan bersama seperti lobi, lif, parkir dan landskap. 

Bangunan yang dijaga rapi biasanya mencerminkan pengurusan yang cekap. Pengurusan yang lemah pula boleh menyebabkan kemudahan cepat rosak dan nilai hartanah merosot.

Semak reka bentuk unit dan pengudaraan

Keluasan unit bukan satu-satunya faktor keselesaan. 

Susun atur ruang dalaman, bukaan tingkap, arah matahari dan aliran udara memainkan peranan besar terhadap kualiti hidup harian.

Unit yang mempunyai pengudaraan silang, pencahayaan semula jadi dan zon ruang yang jelas lebih selesa walaupun bersaiz sederhana. 

Elakkan unit yang terlalu sempit, banyak sudut mati dan kurang tingkap kerana ia cenderung menjadi panas, lembap dan memerlukan penggunaan penghawa dingin yang tinggi.

Tinjau keadaan trafik dan akses keluar masuk

Akses masuk dan keluar yang terhad boleh menjadi punca kesesakan serius, terutama bagi projek besar dengan jumlah unit yang tinggi. 

Masalah ini biasanya hanya disedari selepas diduduki.

Pembeli disaran melawat kawasan projek pada waktu puncak pagi dan petang untuk melihat keadaan sebenar trafik. 

Semak juga bilangan laluan keluar masuk, sambungan ke jalan utama serta jarak ke lebuh raya dan stesen pengangkutan awam kerana faktor ini memberi kesan langsung kepada masa perjalanan harian.

Pastikan nisbah parkir munasabah

Kekurangan parkir sering menjadi punca ketegangan antara penghuni di kediaman berketumpatan tinggi. 

Ada projek yang hanya menyediakan satu petak parkir bagi setiap unit walaupun sasaran pembelinya keluarga bandar yang memiliki lebih satu kenderaan.

Semak lokasi parkir, jaraknya dari lif dan sama ada terdapat pilihan untuk membeli atau menyewa petak tambahan. 

Parkir pelawat juga penting bagi mengelakkan kenderaan diletakkan secara tidak teratur yang boleh menjejaskan keselamatan dan kelancaran trafik dalaman.

Semak peraturan strata dan had pengubahsuaian

Kediaman strata tertakluk kepada peraturan khusus berkaitan ubah suai, penyewaan jangka pendek, pemilikan haiwan peliharaan dan penggunaan kemudahan bersama. 

Ketidakpatuhan boleh membawa kepada notis, denda atau tindakan undang-undang.

Pembeli perlu membaca peraturan pengurusan dan undang-undang kecil bangunan lebih awal supaya tidak timbul masalah selepas membeli.

Ini penting terutama bagi mereka yang bercadang membuat pengubahsuaian atau menyewakan unit.

Lawat tapak dan unit contoh lebih daripada sekali

Keputusan membeli tidak wajar dibuat hanya berdasarkan unit pameran dan bahan promosi. 

Lawatan berulang pada masa berbeza membantu pembeli menilai suasana sebenar kawasan.

Perhatikan tahap bunyi, kepadatan persekitaran, profil kejiranan dan keadaan kemudahan sekitar. 

Pemerhatian ini memberi gambaran realistik tentang pengalaman tinggal di situ, bukan sekadar gambaran pemasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN