KUALA LUMPUR: Nomura Asset Management Malaysia Sdn. Bhd. mengambil pendekatan optimistik secara berhati-hati dalam prospek pasaran ekuiti, berikutan keadaan pasaran yang masih tidak menentu.
Pengarahnya, Atsushi Ichii berkata, turun naik pasaran ketika ini dipengaruhi ketegangan politik dan geopolitik, namun asas pertumbuhan ekonomi masih menjadi pemacu utama kepada pulangan pelaburan.
“Secara umum, pasaran agak tidak menentu. Tetapi jika pelabur dan pengurus dana bertindak tangkas serta membuat pelarasan strategi, peluang untuk memulihkan pulangan itu ada. Trend pertumbuhan pula masih berterusan.
“Keyakinan terhadap ekonomi biasanya akan tercermin melalui kekuatan mata wang. Dalam konteks ini, saya melihat kekuatan ringgit sebagai pantulan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Dana Ekuiti Pelbagai Tema Global Nomura (GMT) di sini hari ini.
Ditanya mengenai prospek keseluruhan tahun semasa, Ichii berkata, pertumbuhan ekonomi kekal menjadi asas utama kepada strategi pelaburan, selain keupayaan mengenal pasti sektor dan tema yang mempunyai trajektori perkembangan kukuh.
“Dana baharu syarikat akan memberi fokus kepada pelaburan luar negara, manakala pendedahan kepada ekuiti Malaysia masih belum menjadi keutamaan buat masa ini kerana syarikat dianggap pemain yang lewat memasuki segmen berkenaan.
“Buat masa ini tiada dana ekuiti domestik kerana kami memasuki pasaran agak lewat. Namun, secara berperingkat, memang ada perancangan ke arah itu,” ujarnya.
Atsushi Ichii berkata, sebahagian besar dana di bawah pengurusan syarikat itu didenominasikan dalam ringgit, sekali gus mengurangkan kesan turun naik mata wang terhadap kedudukan portfolio.
“Majoriti dana yang kami urus adalah dalam ringgit dan kebanyakan pelabur juga berpangkalan di Malaysia. Jadi impak pengukuhan ringgit itu tidak begitu ketara kepada struktur dana kami.
“Bagi dana yang melabur di luar negara, pengukuhan ringgit boleh menjadi faktor negatif dari sudut pulangan mata wang. Namun begitu, kami melihat lebih banyak peluang pertumbuhan di pasaran global,” jelasnya.
Sementara itu, syarikat turut memperkenalkan GMT yang menawarkan pendedahan pelaburan pelbagai kepada pelabur Malaysia merentasi beberapa tema pertumbuhan struktur jangka panjang yang membentuk ekonomi global.
Dana ini menyasarkan pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur dalam Nomura Funds Ireland — GMT.
Pengurus Portfolio Kanan Nomura Asset Management Co. Ltd. merangkap penasihat sub-pelaburan dana tersebut, Rika Naito berkata, semakan tema dibuat setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan strategi kekal relevan dengan persekitaran pasaran.
“Sejak 2024, tema pelaburan telah dikemas kini sebanyak tiga kali bagi memastikan tahap kepelbagaian dan fleksibiliti sentiasa terpelihara.
“Dana ini memfokuskan tema dengan ciri pertumbuhan kukuh. Dalam pasaran menaik, nisbah tangkapan kenaikan mencecah 106 peratus, manakala nisbah tangkapan penurunan sekitar 89 peratus. Gabungan tema pertumbuhan tinggi dan stabil membantu mengimbangi risiko,” katanya. – UTUSAN










