KUALA LUMPUR: Kerangka Insentif Baharu (NIF), yang dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 merupakan langkah strategik kerajaan untuk menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia dan menyokong reformasi pasaran buruh negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, NIF direka untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi negara, dengan memberi penekanan kepada pelaburan dalam industri teras yang telah digariskan.
Katanya, kerangka baharu itu diharap dapat memperkukuh penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi, memacu pembangunan industri berteknologi tinggi, serta menyokong transformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi secara inklusif.
“Apa yang kami mahukan adalah pelaburan berkualiti yang mampu mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan menyokong transformasi pasaran tenaga kerja negara,” katanya dalam sesi bertajuk Dasar Fiscal & Monetari sempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026).
Sesi tersebut kendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed turut disertai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Menurut Amir Hamzah, kerangka baharu itu menekankan pendekatan berasaskan hasil yang menjadi teras perbezaan NIF berbanding sistem insentif lama.
“Dalam sistem terdahulu, insentif diberikan terutamanya berdasarkan jumlah pelaburan berskala besar, namun, NIF memberi keutamaan kepada kualiti pelaburan, termasuk bagaimana pelaburan itu menyumbang kepada ekonomi, memacu inovasi, dan memperkukuh tenaga kerja tempatan.
“Pelaburan yang masuk ke Malaysia melalui NIF akan dinilai berdasarkan beberapa faktor utama, termasuk penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pengembangan industri berteknologi tinggi, dan sokongan kepada peralihan pasaran buruh.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi insentif kepada pelabur, tetapi juga memastikan setiap pelaburan mempunyai impak sebenar dan berpanjangan kepada pembangunan negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, NIF turut memberi perhatian kepada penyebaran pembangunan yang lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Pelaburan yang ditempatkan di kawasan kurang membangun akan menerima insentif tambahan, sama ada melalui tempoh insentif yang lebih panjang atau kadar insentif yang lebih baik,” katanya.
Langkah itu, katanya, bertujuan mengurangkan jurang pembangunan, memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja, dan menyokong pembangunan ekonomi inklusif di seluruh negara.
“Kerangka ini bukan tentang kuantiti pelaburan, tetapi kualiti dan impak yang dibawa ke Malaysia. Ia selaras dengan matlamat kita untuk mengukuhkan ekonomi negara dan memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi secara inklusif,” jelasnya.
Tambahnya, NIF juga direka untuk memberi sokongan kepada pelaburan yang membawa kesan transformasi ekonomi, di mana pelaburan berkenaan akan memacu kemahiran tempatan, memperkenalkan teknologi baharu dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja akan menerima keutamaan.
“Pelaburan yang membawa teknologi baharu bukan sahaja meningkatkan daya saing industri tempatan tetapi juga membuka peluang kepada sektor berkaitan rantaian nilai tinggi, di mana Malaysia dapat menyerap kepakaran dan membina kapasiti tempatan,” katanya.
Pada Januari lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, NIF akan dilaksanakan bagi sektor perkilangan mulai 1 Mac depan, diikuti sektor perkhidmatan pada suku kedua 2026 selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026.- UTUSAN










