Nestlé Professional, Sunway University jalin kerjasama bangunkan bakat kulinari - Utusan Malaysia

Nestlé Professional, Sunway University jalin kerjasama bangunkan bakat kulinari

YIT Woon Lai (tiga dari kanan) bersama barisan pengurusan tertinggi Nestlé Malaysia dan Sunway University ketika pemeteraian MoU baru baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé Professional Malaysia memeterai kerjasama strategik dengan Sunway University bagi melahirkan lebih ramai bakat kulinari bersedia industri untuk menyokong pertumbuhan sektor perkhidmatan makanan negara.

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi program Young Culinary Talents (YOCUTA), inisiatif global Creating Shared Value (CSV) di bawah aspirasi Nestlé Needs YOUth yang bertujuan memperluas peluang ekonomi golongan muda.

Menerusi kerjasama tersebut, pelajar akan memperoleh pengetahuan penting, latihan praktikal serta pendedahan industri sebenar bagi membantu mereka membina kerjaya profesional dalam bidang kulinari.

Di bawah perjanjian itu, pelajar akan mendapat manfaat daripada kelas induk dikendalikan pakar, demonstrasi masakan secara langsung, bengkel industri, latihan industri berstruktur serta peluang bimbingan yang disampaikan bersama oleh Sunway University dan rangkaian cef Nestlé Professional.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Professional Malaysia dan Singapura, Yit Woon Lai berkata, kerjasama berkenaan menekankan kepentingan hubungan kukuh antara industri dan institusi akademik dalam melahirkan tenaga kerja kulinari masa depan.

“Melalui YOCUTA, kami berhasrat menyokong bakat kulinari muda dengan memperkukuh asas teori serta kemahiran dapur secara praktikal agar mereka lebih yakin beralih daripada bilik kuliah ke alam pekerjaan.

“Kerjasama dengan Sunway University membolehkan kami menyumbang kepakaran industri, bimbingan dan pendedahan yang melengkapi pembelajaran akademik, di samping menyokong kelestarian jangka panjang sektor perkhidmatan makanan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung di Sunway University disaksikan wakil utama kedua-dua pihak termasuk Presiden Sunway University, Profesor Sibrandes Poppema, Dekan School of Hospitality and Tourism Management, Profesor Dr. Daniel Chong Ka Leong serta Pengurus Perniagaan Makanan Nestlé Professional Malaysia, Tazeen Shehryar.

Program YOCUTA yang merupakan sebahagian daripada Kerangka Kecemerlangan Kulinari Nestlé Professional memberi tumpuan kepada pembangunan cef muda melalui pendidikan, latihan praktikal, pendedahan industri serta penekanan kepada kelestarian.

Program itu dilaksanakan di pelbagai negara dan berperanan memperkukuh keupayaan kulinari serta perkhidmatan makanan sambil memupuk kreativiti, profesionalisme dan inovasi dalam kalangan peserta.

Sebagai tonggak kepada aspirasi global Needs YOUth, YOCUTA menyokong sasaran Nestlé untuk membantu 10 juta golongan muda mengakses peluang ekonomi, menjadikannya antara inisiatif pembangunan belia paling berimpak oleh syarikat itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN