Mr. Absorber sasar buka 150 cawangan menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Mr. Absorber sasar buka 150 cawangan menjelang 2030

MUHAMMAD Al-Annas Abdul Yamin (lima dari kanan) semasa Majlis Pelancaran Cawangan ke-46 Mr. Absorber di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan suspensi kenderaan tempatan, Mr. Absorber (PR Venture Sdn. Bhd.) menyasarkan perolehan sebanyak RM100 juta setahun menjelang 2030, selari dengan pelan pengembangan ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Muhammad Al-Annas Abdul Yamin berkata, sasaran itu bakal dipacu oleh pembukaan lebih banyak cawangan yang dijangka mencecah 150 buah dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurutnya, bagi tahun kewangan semasa, syarikat optimis mencatatkan peningkatan hasil sehingga RM30 juta, berbanding RM23 juta yang diraih pada tahun lalu.

“Kami melihat potensi besar dalam industri automotif khususnya segmen suspensi yang selama ini dianggap sebagai pasaran sampingan di bengkel-bengkel umum.

“Menerusi penjenamaan Mr. Absorber, kami bukan sahaja menjual produk tetapi membawa kepakaran khusus untuk memastikan keselamatan pemanduan pada tahap maksimum,” katanya selepas majlis pelancaran cawangan ke-46 Mr. Absorber di Cheras, di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Mr. Absorber turut menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Rangkaian Servis Suspensi Kereta Terbesar di Malaysia.

Menyentuh mengenai pelan pengembangan fizikal, Muhammad Al-Annas berkata, fokus tahun ini adalah untuk menembusi pasaran Borneo bermula dengan pembukaan hab pengedaran di Kota Kinabalu, Sabah sebelum ke Sarawak tahun depan.

“Setakat ini, Mr. Absorber mempunyai 51 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan kekuatan tenaga kerja seramai 450 orang termasuk di bawah rangkaian usahawan.

“Selain mengejar angka pertumbuhan, Mr. Absorber juga komited mewujudkan sehingga 1,200 peluang pekerjaan berkualiti menjelang 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat turut memberikan keutamaan terhadap keselamatan jalan raya, terutamanya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Katanya, semua cawangan kini berada dalam kesiapsiagaan penuh dengan stok yang mencukupi serta pasukan teknikal terlatih untuk membantu pelanggan mendapatkan pemanduan yang lebih selamat.

“Selain pengembangan fizikal, fokus jangka panjang kami adalah untuk memprofesionalkan sektor perkhidmatan automotif melalui latihan berstruktur dan amalan perkhidmatan berstandard tinggi,” katanya.

Mr. Absorber kini bekerjasama dengan jenama suspensi antarabangsa dan proprietari termasuk Proexpert dan Greber bagi menyediakan penyelesaian berprestasi tinggi yang dipercayai pengguna.

Syarikat itu juga bakal melaksanakan pelbagai kempen di peringkat nasional, termasuk inisiatif Ramadan bagi mendekati pengguna dan mempromosikan kesedaran keselamatan kenderaan secara lebih meluas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN