PETALING JAYA. Aliran harga minyak mentah global kekal bergerak dalam julat dagangan sekitar AS$60 hingga AS$70 (RM282 hingga RM329 setong), meskipun berlaku peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat, menurut MBSB Research.
Menurut firma penyelidikan itu, paras harga semasa masih jauh di bawah paras tertinggi dalam tempoh setahun iaitu AS$82.03 setong (RM385.54 setong) sekali gus mencerminkan pergerakan terkini lebih didorong oleh premium risiko geopolitik berbanding perubahan struktur asas penawaran dan permintaan global.
Katanya, di tengah ketegangan tersebut, niaga hadapan minyak mentah Brent dilaporkan meningkat dan buat sementara waktu melepasi paras AS$70 setong (RM282).
“Kenaikan itu didorong kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan, selain disokong oleh rundingan berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung kemungkinan perjanjian nuklear baharu,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, ketidaktentuan berkaitan prospek bekalan global terus menyumbang kepada volatiliti harga dalam jangka pendek.
“Namun begitu, asas pasaran yang masih berdepan lebihan bekalan struktur dijangka mengehadkan sebarang kenaikan harga secara mampan dalam tempoh terdekat,” katanya.
MBSB Research mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor minyak dan gas susulan tindakan Iran menutup sementara sebahagian laluan di Selat Hormuz bersempena latihan ketenteraan tembakan langsung.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah tersebut disifatkan sebagai satu peningkatan taktikal yang jarang berlaku dalam pendekatan Iran terhadap laluan tenaga global yang kritikal, namun ia terhad dari segi tempoh dan skop pelaksanaannya.
“Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, mengendalikan kira-kira 20 peratus aliran minyak global setiap hari. Sebarang gangguan di laluan ini berpotensi memberi implikasi material kepada pasaran tenaga dan perdagangan antarabangsa,” katanya.
MBSB Research berkata, walaupun Iran sebelum ini pernah terlibat dalam tindakan gangguan terhadap kapal dagang ketika tempoh ketegangan geopolitik, penutupan separa selat tersebut jarang berlaku sejak era Perang Iran–Iraq pada 1980-an.
“Langkah itu lebih bersifat isyarat strategik bagi menunjukkan keupayaan Iran mengganggu rantaian bekalan tenaga global di tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan AS.
“Namun begitu, setakat ini tiada gangguan fizikal yang disahkan terhadap penghantaran minyak komersial,” katanya.
MBSB Research berkata, Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman merupakan laluan antarabangsa yang digunakan secara meluas oleh pengeksport utama minyak dan gas seperti Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) , Kuwait, Qatar dan Iran.
“Walaupun terdapat infrastruktur saluran paip terhad di Arab Saudi dan UAE yang boleh bertindak sebagai laluan alternatif, majoriti penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) masih bergantung kepada selat tersebut. Ini menjadikan rantau berkenaan amat sensitif terhadap sebarang gangguan geopolitik.
“Secara sejarah, ancaman terhadap selat berkenaan sering mencetuskan lonjakan harga tenaga dalam jangka pendek, namun gangguan berpanjangan jarang berlaku berikutan implikasi ekonomi dan ketenteraan yang besar,” katanya. – UTUSAN










