KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) melancarkan Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB, sebuah inisiatif strategik yang bertujuan merancakkan pembangunan industri kraf tempatan.
Program ini berperanan sebagai platform pembangunan bersepadu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pengisian pembelajaran berstruktur serta peluang jaringan perniagaan, sekali gus menyokong pertumbuhan usahawan dan pemilik perniagaan dalam industri kreatif.
Pelancaran itu telah dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB mengukuhkan komitmen CIMB untuk memperkasa PKS dengan menyediakan platform yang menyokong penambahbaikan kebolehan, pembinaan jaringan dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Dengan menyokong keusahawanan dan kraf Malaysia dalam bentuk kontemporari dan warisan, kami mahu membantu perniagaan menjadi mampan sementara memelihara reka seni ini untuk generasi mendatang selari dengan matlamat kami dalam memperkasa pelanggan dan masyarakat.
“Sebagai sebahagian daripada Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB, siri sesi jaringan turut meliputi program Saudagar CIMB untuk PKS dari semua sektor bagi membantu mereka mengasah kemahiran selaku pemilik perniagaan, sementara sesi padanan perniagaan akan menyediakan peluang untuk kerjasama, pembiayaan dan jualan silang,” katanya sempena pelancaran Minggu Seri-Ibu Kraf di sini.
Lebih 300 PKS disasarkan hadir ke program itu.
Usahawan berjaya meliputi industri seperti makanan dan minuman, fesyen dan pengurusan hartanah akan berkongsi topik-topik seperti aliran tunai berbanding keuntungan, menguruskan perbelanjaan, penjenamaan sebagai sebahagian daripada perjalanan perniagaan, memanfaatkan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) serta penskalaan dari pengeluaran skala kecil kepada eksport.
Yayasan Hasanah juga akan turut memperkenalkan geran perniagaan untuk PKS, manakala panel pakar CIMB pula menyertai sesi itu untuk menyediakan pandangan pakar tentang perniagaan PKS dalam semua peringkat kitaran hidupnya.
Selain itu, terdapat Cake Piknik, komuniti kek tempatan menyediakan bengkel membuat kek yang menarik.
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB mempersembahkan pelbagai jenis hasil kraftangan artisanal dalam variasi medium termasuk tekstil, kayu, kaca, logam serta segenap jenis bahan lain, dilengkapi dengan fesyen raya yang berwarna-warni oleh bakat terkemuka dan meningkat naik dalam industri.
Lebih 30 butik fesyen dan kraf menyertai acara yang berlangsung selama sebulan ini, mempamerkan bakat kreatif dengan hasil rekaan terbaik dan paling berharga mereka yang dianggap sebagai karya agung pada acara berkenaan.
Usahawan kraf termasuk Toko Art, La Putri, Cipela, Earth Heir, Hara Makers, Mah Meri Cultural Village, Kakao Origin dan Aperture Café TTDI.
Pengeluar tenun dan anyaman termasuk Terengganu Songket, Manang Songket, Samyama by John Ang, Tanoti dan MyPride serta pereka fesyen yang mengambil bahagian ialah Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, Pink Jambu, Arun Sayfull, Shanell Harun, Tinta Sutera dan Qudyn Aziz bersama Kekean Wastra Gallery.
Dalam pada itu, CIMB turut bekerjasama dengan Sime Darby Property bagi menyokong Piala Seri-Ibu Kraf, pertandingan yang mengetengahkan bakat-bakat terbaik dalam seni kraf, di mana pemenang dianugerahkan dalam kategori-kategori seperti tekstil, tukang logam termasuk perak, gangsa dan tembaga dan bukan logam (termasuk seramik, kaca, kayu dan tembikar).
Selain itu, terdapat juga Anugerah Inovasi, Anugerah Pilihan Orang Ramai atau People’s Choice Award dan Anugerah Khas Seri-Ibu yang akan dipilih sendiri oleh Tengku Ampuan Pahang.
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB juga menyemarakkan semangat Kita Bagi Jadi, gerakan sosial CIMB yang meraikan semangat daya tahan, optimisme dan nilai positif dalam kalangan rakyat Malaysia, ditampilkan oleh PKS yang terus berusaha membangunkan perniagaan sambil menyemai naluri kreatif mereka. – UTUSAN










