MBSB Bank buka cawangan di Inanam, Sabah

MBSB Bank buka cawangan di Inanam, Sabah

CAWANGAN baharu MBSB Bank di Inanam, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad memperluaskan jejak operasinya di Sabah menerusi pembukaan cawangan baharu di Inanam, sekali gus memperkukuh sokongan terhadap komuniti setempat serta pertumbuhan ekonomi wilayah itu.

Cawangan baharu tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Jessica Majimbun dan menjadi tambahan strategik kepada rangkaian sedia ada bank itu di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau.

Menurut kenyataan bank itu, pembukaan cawangan berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan institusi kewangan itu terhadap potensi ekonomi Sabah, di samping usaha mendekatkan perkhidmatan perbankan patuh syariah kepada masyarakat dan pemain industri tempatan.

“Terletak di antara kawasan komersial dan perindustrian utama Kota Kinabalu, cawangan Inanam disasar memenuhi keperluan pelbagai segmen pelanggan termasuk isi rumah, golongan profesional, usahawan serta pelabur melalui penyelesaian kewangan komprehensif,” katanya. 

Pengerusi MBSB Berhad, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, peluasan rangkaian itu menzahirkan peranan Sabah sebagai pemacu penting pertumbuhan serantau.

“Inanam merupakan nadi perindustrian Kota Kinabalu dan pintu kepada pelbagai peluang ekonomi. Pembukaan cawangan ini bukan sekadar menambah rangkaian kami, tetapi memperluas komitmen terhadap komuniti dan perniagaan yang membentuk masa depan ekonomi Sabah,” katanya. 

Melalui cawangan baharu itu, pelanggan boleh mengakses pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan perumahan serendah 3.6 peratus setahun, perkhidmatan pindahan wang antarabangsa menerusi platform Global Easy Transfer yang dikuasakan Wise serta penyelesaian pengurusan kekayaan patuh syariah seperti pelaburan melalui platform iFAST dan pelaburan emas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan awal daripada komuniti Inanam juga menggalakkan, khususnya terhadap kempen SBMB 5.0 yang menawarkan ganjaran awal sehingga RM35,000, selain peningkatan minat terhadap produk kekayaan seperti Prime Gold dan pelaburan digital.

“Maklum balas awal ini menunjukkan masyarakat Sabah semakin celik kewangan dan memberi penekanan kepada ketelusan, prestasi serta tujuan dalam perancangan kewangan mereka,” katanya.

Dengan pembukaan cawangan Inanam, MBSB Bank terus mengukuhkan kehadiran di seluruh Sabah bagi memastikan akses kepada perkhidmatan perbankan yang beretika dan mampan lebih dekat dengan tempat tinggal serta pusat pertumbuhan ekonomi penduduk negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN