KUALA LUMPUR: Malaysia akan memastikan sebahagian daripada rantaian nilai pemprosesan unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan di dalam negara serta mematuhi piawaian yang konsisten dan diterima di peringkat antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan Malaysia dalam membangunkan sektor REE adalah dengan mengekalkan nilai ekonomi dalam ekosistem tempatan ketika negara ini menjalinkan kerjasama dengan rakan global dalam bidang mineral kritikal.
“Penglibatan Malaysia dalam rantaian bekalan global perlu seimbang antara kepentingan ekonomi, keperluan industri dan pematuhan terhadap piawaian alam sekitar serta tadbir urus yang diterima di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di sini hari ini.
Mengulas mengenai jemputan Amerika Syarikat kepada Malaysia untuk menyertai blok perdagangan mineral kritikal, Akmal Nasrullah berkata, keputusan dasar berkaitan REE berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRAS), manakala peranan Kementerian Ekonomi adalah tertumpu kepada hasil ekonomi dan penciptaan nilai.
“Sekurang-kurangnya sebahagian daripada proses pemprosesan mesti dilaksanakan di dalam negara,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Ekonomi tidak merancang untuk memperkenalkan dasar baharu dalam masa terdekat kerana rangka kerja dan struktur yang diperlukan telah pun diwujudkan.
“Seni bina telah disiapkan dan blok binaan telah diwujudkan. Kini, fokus adalah kepada pelaksanaan,” katanya.
Tambah beliau, penekanan kerajaan kini adalah terhadap pelaksanaan dasar, selaras dengan kedudukan tahun 2026 sebagai tahun penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Bagi kami, 2026 merupakan tahun yang amat penting. Fokus kami sekarang adalah pelaksanaan,” katanya.-UTUSAN










