Malaysia catat jumlah dagangan RM272.4 bilion pada Januari - Utusan Malaysia

Malaysia catat jumlah dagangan RM272.4 bilion pada Januari

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah dagangan dengan pertumbuhan dua digit 12.6 peratus kepada RM272.4 bilion, didorong oleh pertumbuhan eksport berjumlah RM146.9 bilion dan import berjumlah RM125.5 bilion pada Januari lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, imbangan dagangan turut melonjak 483.9 peratus kepada RM21.4 bilion.

Menurutnya, eksport Malaysia meningkat pada Januari 2026, mencerminkan peningkatan sejajar dalam eksport semula dan eksport domestik.

“Eksport semula merangkumi 26.1 peratus daripada jumlah eksport dan meningkat 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM38.3 bilion.

“Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 73.9 peratus turut berkembang 11.3 peratus kepada RM108.6 bilion.

“Import juga meningkat kepada RM125.5 bilion, mencatatkan kenaikan 5.3 peratus, manakala lebihan dagangan melonjak 483.9 peratus kepada RM21.4 bilion, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Berbanding Disember 2025, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 3.9 peratus, 4.0 peratus, 3.9 peratus dan 3.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Dari perspektif kumpulan barangan pula, sebanyak 156 daripada 258 kumpulan eksport dan 159 daripada 260 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) sebanyak +RM5.8 bilion, diikuti Taiwan (+RM4.4 bilion), Hong Kong (+RM4.3 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.5 bilion), China (+RM2.1 bilion), Viet Nam (+RM1.9 bilion) dan Mexico (+RM1.7 bilion).

“Peningkatan import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (+RM5.0 bilion), diikuti oleh Costa Rica (+RM1.8 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Thailand (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM882.9 juta), Hong Kong (+RM632.8 juta) dan Viet Nam (+RM608.4 juta).

“Pertumbuhan eksport didorong oleh peningkatan penghantaran barangan elektrik dan elektronik (+RM20.0 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM1.9 bilion) serta barangan optik dan saintifik (+RM1.5 bilion).

“Ia turut merangkumi bijih logam dan serpihan logam (+RM1.3 bilion), lain-lain (+RM839.3 juta) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM763.1 juta),” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, import mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM3.2 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.5 bilion), bijih logam dan serpihan logam (+RM1.4 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM506.1 juta), tekstil, pakaian dan kasut (+RM480.1 juta) serta barang kemas (+RM470.7 juta).

Dalam pada itu, katanya, kenaikan import mengikut penggunaan akhir disebabkan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan penggunaan.

“Barangan penggunaan iaitu 9.3 peratus daripada jumlah import meningkat 16.7 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM11.7 bilion.

“Namun, import barangan modal iaitu 12.6 peratus daripada jumlah import menyusut 20.7 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM15.8 bilion.

“Import barangan perantaraan iaitu 45.9 peratus daripada jumlah import pula menurun 5.1 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM57.7 bilion berbanding Januari 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN