MAB Engineering, Boeing perkukuh kerjasama MRO Asia-Pasifik - Utusan Malaysia

MAB Engineering, Boeing perkukuh kerjasama MRO Asia-Pasifik

MOHD Nadziruddin (kanan) dan Timbalan Naib Presiden, Jualan Komersial, Boeing, Samir Sahgal (kiri) berjabat tangan selepas menyaksikan pemeteraian Kerjasama strategik lima tahun untuk kedua-dua organisasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MAB Engineering Services, cabang kejuruteraan kepada Malaysia Aviation Group (MAG), memeterai kerjasama strategik lima tahun dengan Boeing bagi memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di rantau Asia-Pasifik.

Perjanjian tersebut dimeterai sempena Pameran Udara Singapura 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi, Singapura, sekali gus memperluaskan keupayaan MRO serantau serta menyokong pertumbuhan ekosistem penerbangan di Asia-Pasifik.

Menerusi kerjasama itu, MAB Engineering Services berperanan sebagai rakan serantau bagi potensi kerja MRO melibatkan pesawat Boeing pada masa hadapan, selain menyediakan sokongan yang cekap dari segi kos, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada syarikat penerbangan.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada pengendali pesawat Boeing di seluruh Asia-Pasifik, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan MRO yang komprehensif di rantau tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan MAG, Mohd. Nadziruddin Mohd. Basri berkata, kerjasama itu mencerminkan keyakinan global terhadap kepakaran, tenaga kerja serta piawaian tinggi yang dimiliki MAB Engineering Services.

“Perjanjian ini membuktikan kepercayaan yang diberikan kepada keupayaan kami, di samping menyokong aspirasi Malaysia untuk diiktiraf sebagai hab global bagi penyelesaian MRO dan kecemerlangan penerbangan,” katanya dalam kenyataan. 

Tambahnya, kerjasama strategik itu turut memperkukuh keupayaan syarikat dalam memenuhi permintaan MRO serantau yang semakin meningkat, selain meningkatkan kebolehpercayaan operasi untuk pelanggan syarikat penerbangan.

Bagi MAB Engineering Services, perjanjian tersebut membuka akses kepada rangkaian armada global Boeing, memperkukuh kedudukan sebagai penyedia MRO serantau yang dipercayai serta mengukuhkan posisi jangka panjang syarikat dalam ekosistem penerbangan Asia-Pasifik.

Dengan pengalaman berdekad lamanya dalam penyelenggaraan pesawat Boeing, bermula daripada Boeing 727 Classic dan siri 737 sehinggalah kepada armada terkini, MAB Engineering Services dikenali dengan reputasi cemerlang dari segi kecekapan teknikal, keselamatan dan kebolehpercayaan.

Rekod prestasi tersebut membolehkan Malaysia Airlines serta pengendali serantau lain beroperasi dengan lebih yakin dan selamat.

Seiring pertumbuhan pesat industri penerbangan di Asia-Pasifik, kerjasama ini meletakkan MAB Engineering Services di barisan hadapan dalam menyediakan penyelesaian MRO yang inovatif, cekap dan boleh dipercayai.

Melalui gabungan kepakaran Boeing dan rekod cemerlang MAB Engineering Services, syarikat itu menyasarkan penciptaan nilai jangka panjang kepada syarikat penerbangan, pengukuhan ekosistem penerbangan serantau serta memperteguh peranan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan penerbangan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN