PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia berkembang 4.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Penerbitan ini memaparkan statistik IPP yang terdiri daripada tiga sektor iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP terus meningkat 4.8 peratus pada Disember 2025 selepas mencatatkan 4.3 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif setiap bulan selama dua tahun berturut-turut.
Katanya, peningkatan ini disokong oleh sektor pembuatan yang berkembang sebanyak 6.7 peratus berbanding 4.9 peratus pada November, disertai dengan peningkatan 3.7 peratus dalam output elektrik daripada 2.7 peratus pada bulan sebelum.
“Namun begitu, pengeluaran sektor perlombongan merosot 2.5 peratus pada Disember 2025 daripada 2.3 peratus pada November. Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP memulih kepada 0.2 peratus daripada negatif 1.1 peratus pada November 2025.
“Output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 7.5 peratus pada Disember 2025 berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Pengembangan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal yang melonjak sebanyak 13.2 peratus; dan diikuti oleh pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan pada 18.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengembangan tahun ke tahun ini mencerminkan prestasi eksport negara yang meningkat 10.4 peratus pada Disember, manakala perbandingan dengan November, industri berorientasikan eksport mencatatkan penurunan kecil iaitu 0.1 peratus selepas merekodkan negatif 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, industri berorientasikan domestik terus mencatatkan prestasi memberangsangkan iaitu 5.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 4.6 peratus pada November 2025.
“Peningkatan industri ini diterajui terutamanya oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan; dan pembuatan logam asas, kekal kukuh masing-masing dengan mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus dan 7.0 peratus,” jelasnya.
Mohd Uzir berkata, pengeluaran sektor perlombongan pada Disember 2025 menurun sebanyak 2.5 peratus dipengaruhi oleh kejatuhan dalam indeks gas asli sebanyak 7.9 peratus (November 2025: 1.0 peratus) manakala, indeks minyak mentah & kondensat meningkat 6.4 peratus (November 2025: 4.3 peratus).
“Berbanding dengan bulan sebelumnya, indeks perlombongan menurun secara marginal 0.9 peratus berbanding pertumbuhan negatif 3.1 peratus yang direkodkan pada November 2025.
“Sementara itu, penjanaan elektrik berkembang 3.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 selepas mencatatkan peningkatan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya,” ujarnya.
Di peringkat global, beliau berkata, IPP bagi beberapa negara meningkat termasuk China (5.2 peratus), Vietnam (11.8 peratus), Thailand (2.5 peratus), Japan (2.6 peratus) dan Taiwan (21.6 peratus) sementara, Singapura (8.3 peratus) terus meningkat dengan pertumbuhan marginal pada Disember 2025.
“Sebaliknya, Korea Selatan (-0.3 peratus) dan Amerika Syarikat (-0.8 peratus) mengalami penurunan pada bulan ini.
“IPP kekal stabil pada 3.6 peratus pada tahun 2025 berbanding 3.7 peratus pada tahun 2024. Semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks pembuatan (4.5 peratus), indeks perlombongan (0.6 peratus) dan indeks elektrik (0.8 peratus),” jelasnya. – UTUSAN










