Indeks Pelopor naik 0.1 peratus pada Disember 2025 - Utusan Malaysia

Indeks Pelopor naik 0.1 peratus pada Disember 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prospek ekonomi Malaysia suku kedua 2026 dijangka kekal berdaya tahan dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan kenaikan 0.1 peratus kepada 114 mata pada Disember 2025, berbanding 113.9 mata dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.

IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ini diperkukuh oleh peningkatan dalam penawaran wang benar M1 (7.3 peratus) dan import benar semikonduktor (4.8 peratus), yang mencerminkan kecairan kewangan domestik yang stabil serta permintaan berterusan terhadap komponen elektronik.

Dari perspektif bulanan pula, beliau berkata, IP turut mencatatkan peningkatan 0.5 peratus disokong oleh pertumbuhan dalam penawaran wang benar M1 (0.5 peratus) serta jangkaan nilai jualan dalam pembuatan (0.4 peratus).

“Meneliti trend arah aliran jangka panjang terlicin pada Disember 2025, IP kekal berada di bawah 100.0 mata (Paparan II).

“Namun begitu, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh ekonomi baharu yang progresif serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka akan merangsang perniagaan tempatan, sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi lain secara tidak langsung,” katanya dalam kenyataan.

Dalam menilai keadaan ekonomi semasa, Mohd Uzir berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum positifnya dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan 2.1 peratus kepada 129.3 mata berbanding 126.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jelasnya, prestasi ini dipacu oleh peningkatan yang konsisten merentasi semua komponen dengan nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 9.6 peratus sebagai penyumbang terbesar.

“Namun begitu, prestasi bulanan IS mencatatkan marginal negatif 0.02 peratus, disebabkan oleh penyusutan kapasiti penggunaan dalam pembuatan dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, yang kedua-duanya mencatatkan negatif 0.1 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN