SEREMBAN: IJM Land Berhad terus memperkukuh kedudukannya di Negeri Sembilan menerusi pembangunan berfasa seluas kira-kira 161.87 hektar di Seremban 2 dengan perancangan keseluruhan mengambil tempoh sehingga 10 tahun bergantung kepada keadaan pasaran semasa.
Penolong Pengurus Besar IJM Land Berhad, Yeoh Oon Tat berkata, projek berkenaan kini memasuki beberapa fasa penting melibatkan pembangunan kediaman berkonsepkan tema tekstil seperti Sutera, Batiq dan Tenun.
“Fasa pertama, Sutera, telah dilancarkan dan diserahkan milikan kosong manakala fasa kedua kini dalam pembinaan.
“Seterusnya, kami melancarkan Batiq yang menawarkan unit kediaman bersaiz 28 kaki x 60 kaki, dan kini juga dalam pembinaan melibatkan beberapa fasa,” katanya ketika Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, pembangunan Tenun sedang dalam proses pembinaan dan dijangka dilancarkan tahun ini.
“Selain itu, terdapat beberapa lagi fasa akan datang di kawasan sama termasuk rumah teres, semi D dan banglo yang akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh enam hingga tujuh tahun akan datang.
“Secara keseluruhan, kami merancang untuk melengkapkan pembangunan ini dalam tempoh sekitar 10 tahun, namun ia bergantung kepada situasi pasaran,” jelasnya.
Selain projek sedia ada, Yeoh berkata, IJM Land turut merancang pembangunan baharu dikenali sebagai City Park di Seremban 2, melibatkan kawasan seluas 22.66 hektar yang bakal menampilkan konsep pembangunan berintensiti tinggi.
Katanya, kawasan itu akan dibangunkan dengan elemen tasik , menara pejabat, blok komersial, serta kemungkinan pusat konvensyen atau dewan pameran dan komponen kesejahteraan.
“Seremban 2 kini hampir siap sepenuhnya, dengan baki tanah sekitar lima hingga 10 peratus sahaja.
“Jadi pembangunan di City Park akan lebih tertumpu kepada projek vertikal tanah lebih kecil tetapi unit lebih banyak,” katanya.
Jelas Yeoh, konsep yang dirancang disamakan dengan pembangunan berorientasikan tasik seperti Desa ParkCity di Kuala Lumpur, di mana kawasan komersial itu menghadap tasik, dikelilingi pembangunan bertingkat tinggi termasuk pejabat korporat dan kediaman.
“IJM Land menyasarkan pelancaran projek pertama di City Park seawal tahun ini, tertakluk kepada pemuktamadan pelan induk dan kelulusan berkaitan,” katanya.
Walaupun nilai pembangunan kasar (GDV) belum diumumkan, Yeoh mengesahkan perancangan awal telah tersedia dan syarikat sedang mengenal pasti bakal penyewa untuk komponen komersial dan pejabat.
Mengulas mengenai prospek pasaran, Yeoh optimis terhadap daya tarikan Seremban 2 sebagai perbandaran mapan dan terancang.
“Ramai yang bekerja di Kuala Lumpur memilih untuk menetap di Seremban 2 kerana kemudahan lengkap tersedia termasuk jabatan kerajaan, bank, pasar raya dan pelbagai kemudahan lain.
“Ia satu perbandaran yang serba lengkap,” katanya.
Beliau berkata, lokasi pembangunan baharu yang lebih luas dan terancang berbanding tapak sebelumnya dijangka menarik lebih ramai pengunjung serta pembeli baharu, khususnya dengan kemudahan parkir lebih besar dan akses lebih baik berhampiran Jalan Labu dan kawasan Nilai.
“Dengan kombinasi pembangunan kediaman berfasa, projek vertikal berintensiti tinggi dan komponen komersial berkonsepkan waterfront, IJM Land dilihat terus komited memperkukuh landskap hartanah Seremban 2 sebagai antara hab pertumbuhan utama di selatan Lembah Klang,” katanya.-UTUSAN










