KUALA LUMPUR: Hock Kee Kopitiam menerima suntikan pelaburan strategik daripada Creador Foundation dan Censuria Capital, sekali gus mengukuhkan momentum pertumbuhan rangkaian kopitiam tempatan itu dalam fasa pengembangan seterusnya di peringkat nasional.
Pelaburan oleh Creador Foundation, firma ekuiti persendirian terkemuka Asia Tenggara, mencerminkan keyakinan kukuh terhadap asas perniagaan, kekuatan jenama serta potensi jangka panjang Hock Kee Kopitiam sebagai jenama pengguna tempatan berpertumbuhan tinggi.
Creador sebelum ini terkenal dengan pelaburan dalam jenama runcit dan pengguna utama di Malaysia dan rantau ini termasuk BIG Pharmacy dan MR DIY.
Pengasas Creador dan Pemegang Amanah Creador Foundation, Brahmal Vasudevan berkata, keputusan untuk melabur dibuat berdasarkan asas perniagaan yang mantap, kedudukan jenama yang unik serta potensi Hock Kee untuk berkembang sebagai jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat nasional.
“Kami melihat Hock Kee Kopitiam sebagai jenama yang mempunyai identiti jelas, disiplin operasi yang kukuh dan pemahaman mendalam terhadap pasaran tempatan,” katanya sempena pelancaran Hock Kee Heritage Medan Pasar di sini semalam.
Turut menyertai pelaburan ini ialah firma ekuiti persendirian Censuria Capital yang dipengerusikan oleh Datuk Marco Yap.
Censuria membawa pengalaman luas dalam penciptaan nilai, pengoptimuman operasi dan pembangunan perniagaan jangka panjang merentasi sektor pengguna dan perindustrian di Malaysia.
Menurut Datuk Marco, Hock Kee Kopitiam berada pada landasan kukuh untuk berkembang dengan sokongan institusi yang tepat.
“Jenama ini menunjukkan pelaksanaan yang konsisten, kepimpinan pengasas yang berdisiplin serta kedudukan pasaran yang jelas.
“Kami melihat peluang signifikan untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya melalui pengukuhan sistem, tadbir urus dan keupayaan organisasi, sambil mengekalkan keaslian yang menjadi teras kejayaan Hock Kee,” katanya.
Ditubuhkan pada 2018, Hock Kee Kopitiam berkembang daripada sebuah cawangan tunggal di Johor 17 cawangan setakat ini, meliputi pasaran utama seperti Kuala Lumpur dan Ipoh, dengan perancangan pengembangan ke Kelantan.
Pada 2024, Hock Kee Kopitiam memperoleh pensijilan halal, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian dan daya tarikan jenama kepada segmen pengguna yang lebih luas di seluruh negara.
Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng berkata, kerjasama dengan Creador Foundation dan Censuria bukan sekadar sokongan kewangan, malah merangkumi kepakaran strategik dalam membina jenama pengguna tempatan secara mampan.
“Pelaburan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap model perniagaan, asas jenama serta strategi jangka panjang kami.
“Kami berkongsi nilai yang sama dalam membina perniagaan berteraskan tadbir urus baik, pembangunan bakat dan kecemerlangan operasi,” katanya.
Dana pelaburan tersebut akan dimanfaatkan untuk peluasan rangkaian cawangan, pembangunan bakat, pengukuhan sistem operasi dan rantaian bekalan, serta pembinaan jenama selari dengan usaha mengekalkan warisan kopitiam dan piawaian perkhidmatan Hock Kee.
Dalam perkembangan berkaitan, Hock Kee Kopitiam turut mengumumkan pelantikan penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah, sebagai Duta Jenama rasmi pertamanya.
Pelantikan itu menandakan fasa baharu strategi penglibatan jenama dan hubungan dengan pengguna.
Bella, yang juga pelanggan setia Hock Kee Kopitiam, menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghargaan istimewa.
“Hock Kee Kopitiam memang sudah lama menjadi pilihan saya untuk menikmati makanan bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Hock Kee dalam kapasiti yang lebih bermakna amat istimewa buat saya,” katanya. – UTUSAN










