Harga MSM dijangka RM4,250 setan bagi 2026

Harga MSM dijangka RM4,250 setan bagi 2026

RHB Investment Bank kekal ‘neutral’ dengan prospek sektor perladangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Investment Bank Bhd. mengekalkan unjuran minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,250 setan bagi 2026 dan RM4,100 setan bagi 2027, dengan penarafan kekal ‘neutral’ bagi sektor perladangan.

Bank pelaburan berkata, antara faktor utama yang boleh mempengaruhi hala tuju harga termasuk potensi gangguan pengeluaran di Indonesia, perubahan dasar biofuel di negara pengeluar utama, risiko cuaca global termasuk kemungkinan El Nino serta kelemahan harga tenaga dan pertumbuhan ekonomi dunia.

Kataya, kebanyakan penceramah di Palm & Lauric Oils Price Outlook Conference and Exhibition 2026 (POC 2026) menjangkakan harga MSM berada dalam julat RM3,800 hingga RM4,400 setan tahun ini, sejajar dengan andaian purata RM4,250 setan bagi 2026.

“Walaupun hanya segelintir penceramah memberikan unjuran harga purata tahunan, pandangan terhadap pergerakan harga antara separuh pertama dan kedua 2026 adalah bercampur. 

“Ada yang menjangka harga lebih tinggi pada awal tahun, manakala sebahagian lain meramalkan pengukuhan pada separuh kedua,” katanya dalam nota penyelidikan.

Tambahnya, dua penceramah yang lebih berhati-hati, Dr James Fry dan Emily French, memberi amaran bahawa harga MSM berpotensi mengalami pembetulan susulan harga minyak mentah yang lebih rendah serta bekalan kacang soya global yang besar.

“Isu kemerosotan hasil dan tuntutan kelestarian turut menjadi fokus utama persidangan. Penceramah menegaskan bahawa bekalan jangka panjang berisiko jika produktiviti ladang tidak dipertingkatkan melalui mekanisasi dan amalan pertanian yang lebih cekap. 

“Pada masa sama, peningkatan keluasan tanaman soya di Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan menambah tekanan persaingan,” ujarnya.

Tambahnya, minyak kacang soya yang berkembang pada kadar purata tahunan 6.2 peratus dalam tempoh lima tahun lalu berbanding 1.1 peratus bagi minyak sawit, semakin kerap menjadi alternatif lebih murah. 

“Perkembangan ini menimbulkan risiko minyak sawit kehilangan kedudukannya sebagai minyak sayuran paling kompetitif dari segi harga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN