Gas Malaysia catat untung bersih RM87.3 juta pada suku keempat - Utusan Malaysia

Gas Malaysia catat untung bersih RM87.3 juta pada suku keempat

GAS Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mencatatkan untung bersih sebanyak RM87.3 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM112.7 juta yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan berkata, prestasi lebih rendah didorong terutamanya oleh purata margin sumbangan gas asli yang lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi.

Hasil syarikat susut kepada RM1.82 bilion bagi suku sama daripada RM2.05 bilion pada 2024.

Bagi keseluruhan tahun kewangan pula, Gas Malaysia merekodkan untung bersih sebanyak RM381.7 juta berbanding RM441.4 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sebanyak RM7.34 bilion daripada RM8.04 bilion.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 8.5 sen sesaham berjumlah RM109.14 juta, yang akan dibayar pada 24 April 2026.

Jumlah tersebut adalah lebih rendah daripada 9.6 sen yang diisytiharkan pada suku yang sama tahun lepas.

Gas Malaysia berkata, kumpulan menunjukkan prestasi yang berdaya tahan untuk tahun kewangan 2025, walaupun terdapat cabaran makroekonomi yang berterusan, insiden kebakaran di Putra Heights pada awal April, peningkatan persaingan dan peningkatan kos operasi dan pertumbuhan.

“Menjelang tahun 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sederhana antara 4.0 peratus hingga 4.5 peratus, mencerminkan persekitaran luaran yang lebih mencabar.

“Ketidakpastian perdagangan yang berterusan, dasar tarif yang berubah-ubah dan ketegangan geopolitik dijangka terus memberi kesan kepada permintaan luaran dan sektor berorientasikan eksport,” katanya.

Susulan itu, kumpulan berkata, pihaknya terus melaksanakan langkah-langkah berhemat untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing operasi.

“Selaras dengan hala tuju strategik jangka panjangnya di bawah strategi GM32, kumpulan juga akan meneruskan peluang pertumbuhan terpilih dalam segmen perniagaan baharu untuk menyokong pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang yang mampan.

“Walaupun inisiatif ini mungkin terus mengakibatkan kos operasi jangka pendek yang lebih tinggi, kumpulan kekal komited terhadap pengurusan kos yang berdisiplin dan kecemerlangan operasi.

“Dengan strategi ini, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan akan memberikan prestasi yang memuaskan pada tahun kewangan 2026, sambil mengekalkan tinjauan berhati-hati memandangkan ketidakpastian pasaran yang sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN