TAHUN ini, Malaysia akan menyambut Tahun Baru Cina pada 17 Februari, manakala Ramadan dijangka bermula pada 19 Februari, bersamaan dengan musim cuti persekolahan.
Seiring dengan itu, pelbagai perbelanjaan dijangka meningkat bagi memenuhi keperluan musim perayaan yang semakin hampir.
Walaupun perayaan berlaku hampir berturut-turut, kita digalakkan untuk berbelanja dengan berhati-hati, terutama ketika merancang perjalanan pulang ke kampung setiap kali cuti panjang.
Jika tidak dikawal, perbelanjaan berlebihan boleh menjejaskan kewangan, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri pada Mac nanti.
Bagi mengelakkan beban hutang atau kekangan kewangan selepas musim perayaan, Ringgit minggu ini berkongsi enam strategi bijak untuk mengawal perbelanjaan.
- Buat senarai perbelanjaan
Anda boleh menyediakan satu senarai untuk menetapkan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan bagi setiap perayaan, termasuk hadiah, makanan, pakaian dan dekorasi.
Kaedah ini membantu mengelakkan perbelanjaan melampau dan lebih sistematik dalam mengawal pengeluaran kewangan ketika membeli.
Selain itu, pembelian secara pukal boleh menjimatkan kos, terutamanya bagi barangan keperluan sempena sambutan perayaan seperti pinggan, kertas dan sudu plastik, lebih-lebih lagi jika anda merancang untuk menganjurkan rumah terbuka.
Bagi yang berkeluarga besar, perkongsian kos dengan ahli keluarga atau sanak-saudara untuk pembelian pukal adalah strategi yang efektif.
- Utamakan keperluan, bukan kehendak
Musim perayaan sering membangkitkan nafsu kehendak membeli.
Oleh itu, fokuskan kepada keperluan asas seperti makanan dan keperluan rumah, manakala barang-barang mewah atau tambahan boleh dikurangkan atau ditangguhkan.
Pastikan setiap pembelian adalah berdasarkan keperluan sebenar dan bukan sekadar kehendak semata-mata serta mampu dibayar balik jika menggunakan kaedah ansuran.
Bagi perbelanjaan besar yang penting, buat perancangan teliti dengan mendahulukan barangan yang utama terlebih dahulu.
- Bandingkan harga sebelum membeli
Sempena musim perayaan, pusat-pusat beli-belah biasanya menawarkan promosi menarik untuk pelanggan, lebih-lebih lagi tahun ini apabila dua perayaan disambut bersama.
Oleh itu, manfaatkan peluang ini dengan membuat perbandingan harga di kedai fizikal atau dalam talian bagi mendapatkan tawaran terbaik tanpa terpaksa berbelanja lebih.
- Guna kaedah wang tunai
Walaupun pembayaran tanpa tunai kini mudah dan popular, penggunaan wang tunai kadang-kala lebih membantu menjejaki perbelanjaan secara langsung dan memantau aliran wang.
Bayaran menggunakan wang tunai bagi setiap pembelian juga dapat mengelakkan pembaziran melalui kad kredit atau pinjaman, sekali gus mengurangkan risiko berhutang jangka panjang.
- Rancang perjalanan balik kampung
Apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah, ramai yang akan membuat perjalanan pulang ke kampung, yang boleh menelan kos tinggi jika tiada perancangan teliti, terutama bagi keluarga besar.
Rancang perjalanan pada waktu bukan puncak jika keadaan mengizinkan.
Bawa bekalan sendiri agar tidak perlu berhenti di rawat dan rehat (R&R) dan mengeluarkan duit tambahan untuk makan.
Bagi yang belum berkeluarga, berkongsi kereta atau carpool bersama adik-beradik yang berdekatan atau rakan-rakan sekampung boleh menjimatkan kos pengangkutan.
Selain itu, manfaatkan diskaun tol yang diberikan oleh kerajaan sempena musim perayaan.
- Simpan duit sebelum perayaan
Setiap tahun, anda boleh menyediakan tabungan khas beberapa bulan lebih awal untuk menampung perbelanjaan perayaan atau menyisihkan sedikit wang setiap bulan.
Dengan cara ini, perbelanjaan besar dapat ditampung tanpa menjejaskan kewangan bulanan.
Selain itu, elakkan juga kebiasaan membeli-belah pada saat-saat akhir kerana banyak jualan promosi besar-besaran berlaku sepanjang tahun terutamanya hujung tahun.
Gunakan peluang ini untuk membeli keperluan awal, terutamanya barangan yang tidak mudah rosak, supaya pengurusan kewangan lebih terancang.
Dengan mengamalkan strategi ini, perbelanjaan sempena musim perayaan dapat dikawal dengan bijak tanpa menjejaskan kestabilan kewangan keluarga, sambil memastikan suasana perayaan tetap meriah dan terurus. – UTUSAN










