PETALING JAYA: CIMB Group menjangkakan pertumbuhan pinjaman di Malaysia sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini, selari dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Novan Amirudin berkata, bagaimanapun, strategi kumpulan tidak tertumpu semata-mata pada pasaran pertumbuhan pinjaman atau sasaran angka pertumbuhan tertentu.
“Apa yang lebih penting adalah bagaimana bank menggerakkan modal dan deposit ke arah aset berkualiti.
“Aset tersebut merangkumi kedua-dua pinjaman serta sekuriti, memastikan pengurusan risiko yang seimbang sambil menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan.
“Pendekatan ini membolehkan bank menyesuaikan strategi mengikut perubahan pasaran, sambil mengekalkan fokus pada keselamatan dan keberkesanan pelaburan aset,” katanya kepada pemberita dalam pengumuman prestasi kewangan CIMB Group di sini hari ini.
Menurut Novan, bagi pasaran lain di rantau ini, pertumbuhan pinjaman dijangka sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.
“Di Singapura, misalnya, pertumbuhan dijangka lebih pantas berikutan saiz operasi yang lebih kecil berbanding bank utama di negara itu.
“Namun di Malaysia, sebagai pemain besar industri, pertumbuhan dijangka bergerak seiring KDNK,” katanya.
Mengulas prestasi kewangan 2025, Novan menyifatkan tahun tersebut sebagai mencabar berikutan tekanan pertukaran asing dan penurunan kadar faedah berterusan di beberapa pasaran operasi.
“Bagaimanapun, berdasarkan mata wang tetap, keuntungan bersih meningkat 5.3 peratus, mencerminkan kekuatan asas perniagaan di setiap negara operasi.
“Secara dilaporkan, pertumbuhan keuntungan bersih adalah lebih rendah susulan pengukuhan ringgit berbanding mata wang serantau.
“Kami bukan spekulator pertukaran mata wang asing . Fokus utama adalah memastikan enjin perniagaan terus kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam aspek pertumbuhan serantau, Novan berkata, kumpulan itu akan kekal tangkas dalam peruntukan modal, khususnya di Indonesia dan Thailand yang berdepan cabaran ekonomi.
“Pendekatan lebih berhati-hati akan diambil bagi mengelakkan risiko kemerosotan kualiti aset pada masa hadapan.
“Sebaliknya, tumpuan akan diberikan kepada segmen berisiko rendah seperti korporat besar dan pengurusan kekayaan, selain memanfaatkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dilihat lebih stabil berbanding beberapa pasaran ASEAN lain,” katanya.
Selain itu, jelasnya, pelaburan dalam keselamatan siber turut dipertingkatkan susulan peningkatan kes penipuan digital global, dengan sistem perlindungan tambahan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pelanggan terus terjamin.-UTUSAN










