PETALING JAYA: Cili Kampung Malaysia (Cili Kampung), peneraju masakan Melayu autentik, mengukuhkan kedudukan dalam industri makanan dan minuman (F&B) melalui pemerolehan 50 peratus pegangan ekuiti dalam jenama kafe artisanal terkenal, Dotty’s Pastries & Coffee (Dotty’s).
Perjanjian strategik bernilai RM24 juta itu akan menyaksikan gabungan antara kepakaran operasi hospitaliti Cili Kampung dengan kecemerlangan seni bakeri Dotty’s bagi memacu perluasan pasaran ke peringkat nasional.
Pengarah Cili Kampung Malaysia, Khairul Anwar Abdul Azeez berkata, pelaburan tersebut merupakan langkah terancang untuk menginstitusikan jenama Dotty’s yang telah bertapak kukuh sebagai destinasi makan sepanjang hari sejak sedekad lalu.
“Dengan penilaian sebanyak RM24 juta, kami menunjukkan keyakinan terhadap legasi Dotty’s. Dengan menggabungkan DNA operasi kami bersama kecemerlangan seni Dotty’s, kami mencipta satu kuasa baharu yang akan mentakrifkan semula landskap hospitaliti di Malaysia.
“Kami sedang menggabungkan dua identiti kulinari paling hebat iaitu Cili Kampung dengan skala operasi yang pantas dan Dotty’s yang pakar dalam gaya hidup kontemporari serta kualiti artisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi dan Pengumuman Kerjasama Strategik Cili Kampung x Dotty’s, baru-baru ini.
Selain itu, kedua-dua pihak komited menyuntik dana berjumlah RM5 juta bagi memacu pengembangan pasaran, memodenkan infrastruktur operasi, serta melancarkan semula cawangan utama Dotty’s di Suria KLCC.
Sementara itu, Pengasas Dotty’s, Nadia Nasimuddin berkata, kerjasama tersebut bakal melonjakkan potensi jenama itu daripada ikon tempatan kepada kuasa nasional yang lebih kompetitif.
“Fokus kami adalah untuk berkembang menjadi restoran sepanjang hari yang utama dengan sokongan kekuatan operasi pasukan Cili Kampung.
“Pelaburan ini bukan tentang mengubah identiti sedia ada, sebaliknya memberdayakan jenama Dotty’s untuk menjadi lebih besar dengan mengekalkan ‘kehangatan’ artisanal yang disukai pelanggan,” jelas beliau.
Objektif utama pakatan ini adalah untuk mengangkat status Dotty’s melampaui konsep ‘butik’ dengan memanfaatkan model pertumbuhan pesat Cili Kampung.
Dotty’s yang memiliki dapur pusat disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memfokuskan kepada kualiti produk, manakala Cili Kampung akan menerajui pengarahan operasi dan kecekapan rantaian bekalan.
Langkah ini bertujuan mewujudkan dominasi dalam segmen gaya hidup ‘Melayu Moden’ yang memenuhi keperluan pengunjung tradisional dan demografi kafe premium, sekali gus menjadikan kedua-dua jenama ini sebagai kuasa besar dalam segmen vertikal Melayu yang mampan. – UTUSAN










