BERBEKALKAN minat sejak kecil dalam penternakan ruminan dan unggas telah mendorong seorang wanita dari Kampung Chelong, Chuping, Padang Besar, Perlis menceburi bidang itu secara serius.
Biar pun bidang itu kebiasaan diusahakan kaum lelaki, namun Che Amah Che Mid, 57, tidak kekok untuk menguruskan ternakannya di atas sebidang tanah bersebelahan rumah yang berkeluasan kira-kira 2.84 hektar.
Bermula dari tahun 2008, Che Amah berjinak-jinak dalam bidang itu dengan mula mengusahakan ternakan lembu dari lima ekor sehingga pernah mencecah sebanyak 50 ekor pada satu masa.
Namun begitu, sejak tahun 2015, dia memilih mengurangkan jumlah peliharaan lembu dan memulakan ternakan kambing di kandang bersebelahan rumah itu.
Che Amah juga kemudian cuba keluar dari zon selesa dengan mula menceburi bidang ternakan unggas pula terdiri daripada ayam piru, ayam mutiara, itik dan angsa.
Che Amah berkata, buat masa ini, dia menternak sebanyak 11 ekor lembu terdiri daripada jenis Brahman Cross dan Coreless bersama 150 ekor kambing jenis Biri-Biri Damar Cross serta Boer Cross.
“Saya juga mengusahakan ternakan unggas melibatkan 100 ekor ayam piru termasuk ayam mutiara, itik dan angsa bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Che Amah berkata, selain minat dalam penternakan, dia menceburi bidang itu bagi menambah pendapatan.
Menurutnya, secara purata, dia mampu meraih pendapatan kasar kira-kira RM30,000 sebulan hasil daripada penternakan ruminan dan unggas tersebut.
“Pelanggan saya adalah dari dalam dan luar Perlis malah jualan ternakan ini juga memberangsangkan tanpa mengira musim. Ternakan sememangnya menjanjikan pulangan, namun saya nak ingatkan agar mereka yang cuba ceburi bidang ini perlu mempunyai ilmu dan berdisiplin untuk elakkan ia hanya sekadar separuh jalan,” katanya.
Jelasnya, dia juga hanya menguruskan ternakannya itu bermula dari pukul 3 hingga 5 petang meliputi proses pemberian makanan, memastikan bekalan air minuman mencukupi dan pelbagai lagi.
“Pada sebelah pagi, saya hanya pantau sahaja untuk pastikan sama ada terdapat kambing atau lembu yang beranak, manakala proses selebihnya pula dilakukan pada sebelah petang,” katanya.
Dalam pada itu, Che Amah berkata, dia mula menceburi bidang itu hasil bimbingan daripada Jabatan Veterinar yang menawarkan sistem pawah memandangkan pihaknya juga tidak mempunyai modal besar bagi memulakan ternakan.
Ibu kepada tiga anak ini berkata, bermula dari situ, dia mula menternak kambing dan turut memohon geran daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi membina kandang.
“Saya juga mengikuti kursus-kursus yang disediakan bagi menambah pengetahuan dan mengetahui selok-belok dalam bidang penternakan ini.
“Malah, saya juga melakukan pemasaran ternakan-ternakan ini melalui pelbagai medium termasuk platform media sosial,” katanya.
Selepas terlibat dalam bidang ini, Che Amah berkata, antara cabaran utama yang dihadapinya adalah bagi berdepan persaingan kemasukan lembu-lembu luar antaranya dari Thailand yang menawarkan harga lebih murah.
Dalam masa sama, dia turut menasihati golongan muda yang ingin menceburi bidang penternakan agar dapat memanfaatkan peluang dengan sebaiknya menerusi pelbagai inisiatif dan geran ditawarkan.
“Untuk orang muda sepatutnya tak ada masalah kalau nak buat dua kerja pun. Contohnya bela kambing, mereka boleh urus makanan sebelum keluar pergi kerja dan selepas pulang bekerja.
“Dari situ, mereka boleh jana dua pendapatan. Gaji sedia ada boleh guna untuk keperluan hidup, hasil penternakan pula boleh guna untuk tujuan lain,” katanya. – UTUSAN










