MEMBELI kenderaan elektrik (EV) di Malaysia pada 2026 memerlukan pertimbangan yang menyeluruh, bukan sekadar teknologi atau jenama.
Pembeli perlu mengambil kira harga, infrastruktur pengecasan, corak perjalanan dan kos pemilikan keseluruhan.
Dengan pilihan model pemasangan tempatan (CKD) mampu milik yang semakin bertambah dan perkembangan rangkaian pengecas awam, keputusan terbaik adalah memilih EV yang sesuai dengan gaya hidup harian.
Minggu ini, Ringgit berkongsi tip untuk memilih EV yang bersesuaian dengan gaya hidup bagi mereka yang ingin beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam.
- Tentukan corak penggunaan harian
Sebelum membeli EV, pembeli perlu menilai corak penggunaan harian mereka supaya kenderaan tersebut sesuai untuk perjalanan yang tetap dan konsisten seperti ulang-alik kerja atau perjalanan dalam bandar.
Individu yang mempunyai tempat parkir tetap, sama ada di rumah strata atau rumah bertanah, juga lebih mudah memasang pengecas peribadi.
Bagi pengguna yang kerap melakukan perjalanan jauh di lebuh raya, penting untuk memastikan terdapat cukup stesen pengecas arus terus (DC) di laluan biasa, selain memastikan model EV yang dipilih mempunyai jarak pemanduan yang realistik.
- Fahami julat harga dan segmen pasaran
Pasaran EV di Malaysia untuk 2026 dijangka berstruktur mengikut julat harga. Model CKD mampu milik di bawah RM150,000 menawarkan jarak pemanduan sederhana dan kos pemilikan rendah.
Model arus perdana antara RM150,000 hingga RM250,000 menawarkan spesifikasi seimbang dan ciri teknologi bantuan pemandu yang lebih lengkap.
Sementara model premium atau import sepenuhnya (CBU) berharga lebih RM250,000 menawarkan prestasi tinggi, teknologi terkini dan imej jenama yang eksklusif.
Pembeli juga perlu menilai EV bukan sahaja dari harga beli, tetapi juga dari kos pemilikan keseluruhan (TCO).
- Semak infrastruktur pengecasan
Pengecasan adalah faktor penting selain harga. Pengecas arus ulang alik (AC) adalah cara paling murah untuk mengecas EV secara harian dan caj penuh boleh dilakukan semalaman dengan kos elektrik yang jauh lebih rendah berbanding petrol.
Pembeli juga perlu menyemak ketersediaan pengecas awam berhampiran rumah, pejabat atau laluan lebuh raya yang sering digunakan, termasuk kesesakan di waktu puncak dan kadar bayaran setiap kilowatt jam (kWh).
Jika bergantung sepenuhnya kepada pengecas awam, pembeli perlu mengambil kira kos dan masa pengecasan dalam keputusan mereka.
- Fahami kos sebenar pemilikan
Selain harga beli, pembeli perlu menilai kos keseluruhan pemilikan EV termasuk kos pemasangan wallbox di rumah, bil elektrik bulanan, insurans kenderaan yang biasanya lebih tinggi sedikit dan nilai jualan semula EV pada masa hadapan.
Kelebihan kos EV pula termasuk kos penyelenggaraan yang lebih rendah, tiada penggunaan minyak enjin dan bilangan komponen bergerak yang lebih sedikit, menjadikan kos jangka panjang lebih menjimatkan.
- Bandingkan spesifikasi dengan teliti
Pembeli tidak boleh menilai EV hanya berdasarkan jarak pemanduan rasmi yang dinyatakan pengeluar.
Sebaliknya, perbandingan perlu dibuat berkaitan jarak pemanduan sebenar, kelajuan pengecasan DC, tempoh jaminan bateri, rangkaian servis tempatan dan ciri keselamatan termasuk teknologi bantuan pemandu (ADAS).
Model dengan pengecasan lebih pantas kadang-kadang lebih praktikal walaupun jarak pemanduan sedikit lebih rendah.
- Pantau polisi dan insentif semasa
Sebelum membeli, pembeli disarankan untuk memantau polisi kerajaan dan insentif semasa seperti pengecualian cukai, status dasar import berbanding CKD, program sokongan pengecasan dan perancangan infrastruktur lebuh raya.
Dasar kerajaan memberi kesan besar kepada harga, pilihan model dan kos pemilikan jangka panjang.
- Kenal pasti profil pembeli sesuai
EV paling sesuai untuk pengguna bandar yang mempunyai tempat parkir tetap dan jarak harian sederhana.
Individu yang bergantung kepada pengecas awam sepenuhnya atau kerap melakukan perjalanan jauh sebaiknya menunggu sehingga infrastruktur pengecasan awam bertambah baik.
Pembeli sensitif harga yang mempunyai bajet rendah juga mungkin perlu menunggu model CKD mampu milik tersedia secara lebih meluas. – UTUSAN










