KUALA LUMPUR: Asas ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan usaha perlu diteruskan untuk membina pertumbuhan yang lebih mampan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kita perlu terus membina di atas asas ini supaya pertumbuhan dapat dicapai dengan lebih baik.
“Pelan ekonomi sedia ada seperti Pelan Tindakan Peralihan Tenaga (NETR), Rancangan Induk Industri Negara (NIMP), Sektor Strategik Negara (NSS) merupakan strategi penting, namun kejayaan bergantung kepada bagaimana pelan ini dilaksanakan dengan berkesan bagi mencapai hasil yang diinginkan,” katanya dalam sesi bertajuk Dasar Fiscal dan Monetari sempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026).
Menurut beliau, persekitaran ekonomi global kini tidak menentu, dengan pelbagai faktor berada di luar kawalan negara.
“Apa yang terbaik adalah memastikan kita kekal berdaya tahan dengan mengekalkan penampan yang sesuai. Kita perlu mempunyai alat dasar yang tepat dan penampan yang cukup supaya dapat menghadapi masa sukar,” katanya.
Dari perspektif bank pusat, beliau berkata, BNM akan terus memainkan peranannya dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kestabilan kewangan, memastikan ekonomi terus berkembang dengan asas yang stabil.
“Membina penampan semasa masa baik adalah penting supaya kita kekal berdaya tahan ketika menghadapi cabaran,” katanya.-UTUSAN










