Zus Coffee perkukuh jualan segmen barangan cepat laris 

Zus Coffee perkukuh jualan segmen barangan cepat laris 

NG Chun How menunjukan sebahagian produk barangan pengguna cepat laris (FMCG) keluaran Zus Coffee di Shah Alam baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rangkaian kopi tempatan, Zus Coffee, terus memperkukuh kedudukannya dalam industri kopi Malaysia apabila secara agresif mengembangkan segmen barangan pengguna cepat laris (FMCG) sejak awal 2024, sebagai strategi untuk menembusi pasaran di luar rangkaian kedai fizikalnya.

Pengarah Bisnes Zus Coffee FMCG, Ng Chun How berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, segmen FMCG disasarkan menyumbang hasil yang memberangsangkan kepada jumlah hasil kumpulan, sekali gus mengukuhkan transformasi Zus Coffee daripada sekadar jenama kedai saringan kepada jenama kopi serantau dari Malaysia.

“Kami mahu Zus Coffee dikenali sebagai jenama kopi, walaupun tanpa outlet fizikal. Logo jenama mencerminkan kredibiliti kopi moden yang berkualiti dari Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia. 

Buat masa ini, jelasnya, Zus Coffee mengekalkan fokus kepada pasaran domestik. 

‘Namun, syarikat menyasarkan pengembangan kepasaran serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Asia Barat dalam masa terdekat, disokong oleh pengembangan kedai saringan dan status pensijilan halal,” katanya.

Bermula sebagai jenama kedai saringan, Zus Coffee kini mempunyai anak syarikat khusus bagi produk pengguna yang merangkumi kopi segera dan minuman kopi sedia diminum (RTD).

Jelas Chun How, langkah ini bertujuan meluaskan capaian kepada pengguna yang tidak dapat mengunjungi cawangan, terutamanya di kawasan luar bandar dan bandar kecil.

“Tidak semua pengguna berada dalam lingkungan perimeter cawangan kami yang terhad dari segi landskap geografi.

“FMCG membantu kami menutup jurang itu dengan menawarkan kopi dalam format lain yang lebih mudah dan mampu milik,” katanya.

Sejak dilancarkan pada Januari 2024, Zus Coffee telah memperkenalkan 21 pelbagai jenis produk (SKU) FMCG ke pasaran setakat Disember 2025, meliputi kopi segera dan minuman RTD dalam tin. 

“Produk ini diedarkan di kira-kira 23,000 premis jualan termasuk kedai serbaneka, kiosk stesen minyak, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar.

“Antara jenama yang diperkenalkan ialah ZUS Ngupi®, yang merangkumi kopi segera seperti ‘white coffee’ dan kopi coklat, serta minuman RTD di bawah jenama Expresso, Specialty Latte dan COFFIZZ.” katanya.

Menurut beliau, prestasi FMCG Zus Coffee dilihat lebih memberangsangkan di kawasan yang mempunyai liputan cawangan terhad seperti Pantai Timur, Utara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Kawasan ini secara geografi sukar untuk dibuka cawangan dan mempunyai kuasa beli yang lebih sederhana.

“FMCG menjadi pilihan utama kerana pengguna yang setia pada jenama Zus dan mahu menikmati kopi hariandi rumah dan tempat kerja” jelasnya.

Harga produk FMCG Zus Coffee ditawarkan antara RM1.30 hingga RM2.90 untuk kopi segera dan RM2.60 hingga RM5 bagi minuman Ready to Drink (RTD), menjadikannya lebih mampu milik berbanding kopi “fresh brew” dari kedai saingan yang harganya RM6 ke atas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×