SUNGAI BULOH: Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Yamaha) mengunjurkan pertumbuhan antara tiga hingga lima peratus bagi jualan motosikalnya terutama segmen enjin automatik.
Pengurus Besar Jenama dan Pemasarannya, Tim Hoo berkata, keyakinan itu berdasarkan jumlah jualan bulan pertama tahun ini sudah menyamai statistik bagi tempoh sama pada 2025.
“Unjuran yang dibuat bagi tempoh 2025 adalah peningkatan sebanyak RM700,000 bagi jualan motosikal baharu.
“Saya optimis jualan sepanjang 2026 akan meningkat tiga hingga lima peratus terutama segmen automatik, juga motosikal berkuasa tinggi.
“Keseluruhannya jualan semua kategori kapasiti enjin adalah baik,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas sidang akhbar mengenai hala tuju syarikat sepanjang 2026 di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, Yamaha turut melancarkan motosikal baharu Tracer 9 GT berharga RM71,888 tanpa insurans dan pendaftaran.
Ditanya mengenai jualan model berkenaan, Tim Hoo memberitahu, Yamaha menyasarkan sebanyak 40 buah mampu dijual setiap bulan.
“Saya rasa kami boleh buat (jual) lebih lagi berikutan keadaan jalan raya di negara ini sesuai untuk jentera kembara sebegini,” ujarnya.
Menurutnya, sebanyak 200 buah model sama turut digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan diagih-agihkan secara berperingkat tidak lama lagi. – UTUSAN










