MENCARI sebuah kereta yang kononnya ‘sempurna’ untuk semua keperluan memang bukan mudah. Banyak perkara perlu dipertimbangkan, daripada bajet, keselesaan, prestasi sehinggalah kegunaan harian.
Namun, jika tujuan utama adalah untuk memiliki sebuah kereta yang seronok dipandu pada bila-bila masa, perkara itu sebenarnya tidaklah sesukar yang disangka. Ada bajet, banyak perkara boleh direalisasikan.
Kali ini, penulis berpeluang memandu uji Volkswagen Golf GTI MK8.5, sebuah hot hatch ikonik yang kini kembali dengan pendekatan lebih matang, lebih canggih dan pastinya lebih berkuasa.
Untuk pasaran Malaysia, Golf GTI MK8 pertama kali diperkenalkan sekitar tahun 2022 dan merupakan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang. Sepanjang tempoh itu, model ini turut menerima beberapa kemas kini kecil serta edisi khas seperti Black Edition dan Sepang Edition.
Namun, kemunculan MK8.5 membawa perubahan yang lebih signifikan. Ia bukan sekadar facelift biasa, tetapi satu kemas kini besar yang melibatkan reka bentuk, teknologi serta prestasi keseluruhan.

Reka bentuk
Secara sepintas lalu, Golf GTI MK8.5 mungkin kelihatan hampir sama dengan versi sebelumnya. Namun, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, jelas terdapat beberapa pembaharuan penting yang diperkenalkan oleh Volkswagen.
Di bahagian hadapan, perubahan paling ketara terletak pada sistem pencahayaan. GTI MK8.5 kini dilengkapi IQ. Light matrix LED, berbanding LED Plus tanpa fungsi matrix pada MK8 terdahulu.
Teknologi matrix LED ini membantu memberikan pencahayaan yang lebih jelas pada waktu malam sambil mengurangkan silau kepada pengguna jalan raya lain, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pemanduan.
Selain itu, logo VW dan upper grille kini turut menyala, memberikan sentuhan visual yang lebih moden, manakala pada bahagian lower bumper pula tampil lebih agresif dengan elemen ‘taring’ di bahagian sisi, menjadikan wajah GTI kelihatan lebih hidup dan sporty.
Beralih ke bahagian sisi, rim 18 inci Richmond Alloy masih dikekalkan dan seperti sebelum ini, tiada pilihan rim 19 inci ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Di bahagian belakang pula, lampu kini menggunakan 3D LED tail light yang kelihatan lebih segar dan premium berbanding rekaan lampu versi terdahulu yang kelihatan lebih rata.
Enjin
Di bawah bonet, Golf GTI MK8.5 masih menggunakan enjin 2.0 TSI, namun ia menerima talaan baharu bagi meningkatkan prestasi.
Hasilnya, kuasa maksimum kini mencecah 265PS dan 370Nm, iaitu peningkatan sebanyak 20PS berbanding MK8. Dari sudut prestasi, Volkswagen mendakwa pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (kmsj) dapat dicapai dalam sekitar 5.9 saat.
Kuasa ini disalurkan melalui transmisi 7-speed DSG yang memacu roda hadapan (FWD). Walaupun konfigurasi asas masih sama, peningkatan kuasa ini jelas memberikan perbezaan ketara, terutamanya apabila enjin diperah untuk prestasi maksimum.

Ergonomik
Masuk ke ruang kabin, susun atur dashboard masih mengekalkan identiti Golf yang ringkas dan kemas. Namun begitu, pengalaman pengguna kini dipertingkatkan dengan ketara.
Paparan infotainmen kini bersaiz 12.9 inci, lebih besar berbanding 10 inci sebelum ini dan dipadankan dengan perisian MIB4 yang lebih pantas serta responsif.
Dari sudut ergonomik, posisi pemanduan masih sangat mesra, termasuk untuk pemandu bertubuh tinggi. Semua kawalan utama mudah dicapai dan pandangan ke hadapan jelas, menjadikan GTI sesuai untuk pemanduan jarak jauh tanpa cepat berasa letih.
Kegunaan Atas Jalan
Untuk pemanduan harian dalam bandar, Golf GTI MK8.5 memberikan pengalaman yang sangat smooth to drive. Penyaluran kuasa berlaku secara progresif, stereng terasa ringan dan transmisi DSG berfungsi dengan lancar tanpa rasa kasar.
Namun begitu, untuk benar-benar merasai potensi sebenar model ini, penulis perlu memandu dengan lebih agresif. Apabila ditukar ke mod memandu yang lebih sporty, karakter kereta berubah dengan ketara, respon throttle menjadi lebih tajam dan enjin terasa lebih bertenaga.
Di sinilah Golf GTI menampilkan identiti sebenar sebagai sebuah hot hatch tulen.
Praktikaliti
Walaupun membawa lencana GTI, model ini masih sebuah Golf yang praktikal. Ruang kabin mencukupi untuk kegunaan harian, tempat duduk belakang selesa untuk penumpang dewasa, manakala ruang but pula sesuai untuk kegunaan keluarga kecil atau perjalanan hujung minggu.
Secara keseluruhan, ini bukan sebuah kereta yang menyusahkan untuk digunakan dalam kehidupan seharian.
Ciri dan Teknologi
Antara peningkatan utama pada Golf GTI MK8.5 ialah dari segi teknologi.
Model ini kini hadir dengan voice assistant IDA yang diintegrasikan bersama ChatGPT/Ai. Ia bukan sahaja mampu mengawal fungsi kenderaan, malah boleh menjawab soalan umum seperti cadangan tempat makan atau maklumat semasa.
Sistem audio pula kini menggunakan Harman Kardon, yang menawarkan kualiti bunyi lebih jelas dan premium.
Satu perubahan yang pastinya dihargai ialah kembalinya butang fizikal pada stereng, menggantikan butang touch capacitive sebelum ini.
Perubahan ini dibuat selepas menerima maklum balas daripada pengguna yang mendapati sistem sentuhan terlalu sensitif. Dalam kes ini, pendekatan konvensional ternyata lebih praktikal.
Dari sudut keselamatan, sistem IQ.Drive kini lebih lengkap, merangkumi Front Assist, Adaptive Cruise Control dengan Travel Assist, Lane Assist, Rear Traffic Alert, Park Distance Control dan Driver Attention.
Harga
Dengan harga bermula dari RM257,000, Golf GTI MK8.5 boleh dianggap sebagai sebuah kereta sport Continental yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Ia bukan sahaja menyeronokkan untuk dipandu, malah cukup sesuai untuk kegunaan harian dan hujung minggu.
Dalam pasaran semasa, masih terdapat model lain yang menawarkan pengalaman pemanduan lebih ‘raw’, termasuk pilihan manual transmission dan tahap prestasi yang lebih ekstrem, khususnya dari jenama Jepun.
Namun, Golf GTI MK8.5 hadir dengan pendekatan berbeza. Ia sebuah kereta yang seimbang, selesa untuk kegunaan harian, yakin untuk perjalanan jauh dan tetap menyeronokkan untuk pemanduan hujung minggu.
Dengan gabungan prestasi, teknologi moden dan tahap praktikaliti yang baik, GTI ini sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta serba boleh tanpa mengorbankan keseronokan memandu. – UTUSAN










