PETALING JAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu bagi pelaksanaan Projek Sistem Tenaga Solar di kampusnya, sekali gus menandakan langkah strategik universiti dalam memperkukuh kecekapan kos operasi serta menyokong agenda kelestarian tenaga negara.
Memorandum perjanjian (MoA) tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili Pemangku Ketua Pegawai Pelanggan, Kerajaan & Perniagaan Besar, TNB Retail, Iskandar B. M Hussein serta Synergy Generated Sdn. Bhd. (SGSB) diwakili oleh Pengarah Urusannya, Syed Mohamed Fazilla bin Syed Hussain.
Melalui pelaksanaan projek ini, UPNM dijangka menjimatkan kos bil elektrik tahunan kira-kira RM1.3 juta, hasil penggunaan tenaga solar pada kadar tarif yang lebih kompetitif berbanding tenaga konvensional daripada grid.
“Penjimatan ini memberi impak langsung kepada pengurusan kewangan universiti dan membolehkan sumber kewangan dioptimumkan untuk tujuan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
“Projek ini akan dibangunkan secara menyeluruh merangkumi reka bentuk, pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem tenaga solar di beberapa lokasi strategik kampus termasuk bumbung bangunan, parkir kenderaan dan laluan pejalan kaki,” kata UPNM dalam kenyataan.
UPNM berkata, tempoh perjanjian selama 21 tahun memastikan kestabilan bekalan tenaga serta pulangan jangka panjang yang mampan kepada universiti.
Tambahnya, selain penjimatan kos, projek ini turut menyumbang kepada penjanaan nilai tambah kepada UPNM melalui peruntukan dana penyelidikan sebanyak RM50,000 setahun, peluang latihan industri kepada pelajar serta peningkatan kemahiran teknikal staf melalui pendedahan kepada teknologi tenaga boleh baharu.
Arman Rumaizi berkata, inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga konvensional, malah memperkukuh daya tahan institusi dalam jangka panjang selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM30 (2025 – 2030).
Menurutnya, ia juga mempekasa peranan UPNM sebagai universiti berteras pertahanan yang menitikberatkan aspek keselamatan tenaga negara.
“Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran TNB sebagai peneraju utiliti elektrik negara dan Synergy Generated sebagai syarikat tempatan berpengalaman dalam pembangunan sistem tenaga solar, sekali gus mewujudkan ekosistem mampan yang mengintegrasikan industri, akademia dan kelestarian.
“UPNM yakin projek ini akan menjadi model rujukan kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam mengimbangi penjimatan kos, penjanaan nilai ekonomi dan tanggungjawab alam sekitar secara serentak,” ujarnya. – UTUSAN










