PETALING JAYA: UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jumlah jualan tahunan sebanyak 102,417 unit pada 2025 selepas merekodkan jualan 14,284 unit pada Disember, sekali gus menandakan tahun keempat berturut-turut melepasi pencapaian 100,000 unit.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, pencapaian jualan melebihi 100,000 kenderaan selama empat tahun berturut-turut merupakan satu mercu tanda bermakna buat Toyota dan bukti kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.
“Mengekalkan prestasi pada tahap ini dalam pasaran yang sangat kompetitif dan pantas berubah mencerminkan kekuatan strategi jangka panjang kami, pelaburan dalam keupayaan tempatan serta kefahaman mendalam terhadap cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka.
“Kami kekal komited untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang praktikal, inklusif dan boleh dipercayai bagi memastikan Toyota terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia hari ini dan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional pertama dan satu-satunya di Malaysia yang merekodkan jualan melebihi 100,000 kenderaan selama empat tahun berturut-turut.
Ia satu kejayaan yang belum pernah dicapai oleh mana-mana jenama automotif bukan nasional di pasaran Malaysia.
Dalam tahun yang menyaksikan kemasukan agresif pemain baharu serta perubahan landskap mobiliti, prestasi konsisten UMWT bukan sekadar mencerminkan momentum pasaran, sebaliknya menggambarkan keutamaan jenama dan kesetiaan pelanggan yang berterusan merentasi generasi pemandu Malaysia.
Daripada pembeli kali pertama hingga isi rumah Toyota yang setia sejak sekian lama, permintaan konsisten terhadap rangkaian produk jenama itu yang pelbagai mengukuhkan reputasinya sebagai kenderaan boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia, bukan sahaja pada saat pembelian, malah sepanjang tempoh pemilikan.
Kejayaan berterusan ini didorong oleh Pendekatan Pelbagai Laluan Toyota yang mengiktiraf keperluan mobiliti berbeza mengikut komuniti, corak penggunaan dan tahap kesediaan infrastruktur.
Dengan menawarkan portfolio seimbang merangkumi enjin pembakaran dalaman yang cekap, elektrifikasi hibrid serta teknologi sedia masa hadapan, Toyota terus memperkukuh komitmennya terhadap Mobiliti untuk Semua bagi memastikan kemajuan inklusif dan selari dengan realiti pasaran Malaysia. – UTUSAN










