KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dan Oriental Kopi melancarkan Kempen Rasa Malaysia, inisiatif strategik yang menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bagi mempromosikan cita rasa asli negara ke peringkat antarabangsa.
Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan berkata, Kempen Rasa Malaysia merupakan manifestasi komitmen jangka panjang syarikat untuk memelihara warisan kulinari tempatan sambil memperluas pasaran ke peringkat global.
“Budaya kopitiam Malaysia adalah sebahagian daripada identiti kulinari negara yang mencerminkan kehidupan seharian rakyat serta nilai kebersamaan merentas generasi.
“Melalui kempen ini, kami berhasrat membawa pengalaman rasa autentik Malaysia ke persada dunia, sejajar dengan aspirasi TMM2026,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Rasa Malaysia di sini.
Beliau turut menegaskan, prestasi komersial syarikat menunjukkan penerimaan pasaran yang kukuh terhadap produk tempatan berkualiti tinggi.
“Antaranya, pensijilan Tiga Bintang daripada International Taste Institute bagi Classic White Coffee serta pencapaian jualan melebihi 30 juta biji tart telur, yang mencerminkan konsistensi dan keaslian produk Oriental Kopi,” katanya.
Dari sudut pengembangan perniagaan, Oriental Kopi kini mengendalikan 28 restoran dan 10 kiosk di lokasi strategik bertrafik tinggi di seluruh negara.
“Di Lembah Klang, rangkaiannya merangkumi Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, Pavilion Kuala Lumpur dan Suria KLCC.
“Di Wilayah Utara, syarikat beroperasi di Pulau Pinang melalui Gurney Plaza dan Queensbay Mall, manakala di Wilayah Selatan, kehadirannya merangkumi Melaka serta beberapa lokasi utama di Johor seperti Johor Bahru City Square, Mid Valley Southkey dan KSL City,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan lokasi strategik ini membolehkan hidangan ikonik seperti nasi lemak, kari laksa dan char kuey teow dinikmati oleh komuniti setempat serta pelancong antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada rantaian nilai ekonomi pelancongan dan F&B.
“Sebagai rangkaian yang mematuhi piawaian halal, Oriental Kopi memastikan produknya bersifat inklusif dan sesuai untuk pasaran global.
“Selain sajian di premis, syarikat turut menawarkan lebih 40 produk makanan bawa pulang yang dipasarkan sebagai cenderamata, membolehkan pelancong membawa pulang pengalaman rasa Malaysia ke negara asal masing-masing,” katanya.
Melalui kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia, produk ikonik seperti Classic White Coffee, Oriental Traditional Kaya dan Oriental Sambal Nasi Lemak dipilih sebagai cenderamata rasmi yang melambangkan identiti dan cita rasa negara.
Inisiatif ini dilihat mampu meningkatkan nilai tambah ekonomi kreatif serta memanjangkan impak pelancongan walaupun selepas pelawat meninggalkan Malaysia.
Selaras dengan visi “Advancing with Oriental Kopi, Toward the World”, syarikat kekal komited untuk mengimbangi kualiti, warisan dan inovasi.
Kerjasama antara sektor swasta dan agensi pelancongan ini bukan sahaja memperkukuh daya saing jenama tempatan di peringkat antarabangsa, malah mengangkat makanan sebagai duta budaya dan identiti ekonomi Malaysia yang berdaya saing di pasaran global. – UTUSAN









