TIV sektor automotif dijangka 750,000 unit pada 2026

TIV sektor automotif dijangka 750,000 unit pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TA Securites mengunjurkan  jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif sebanyak 750,000 unit pada 2026, susut 8.6 peratus berbanding 820,752 unit yang dicatat pada 2025, mencerminkan prospek sektor automotif yang lebih berhati-hati.

Firma pemborkeran berkata, walaupun TIV pada 2025 mencatat peningkatan sederhana, pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh jenama bukan nasional, khususnya kemasukan pemain China dan jenama-jenama kecil.

Katanya, keadaan ini telah meningkatkan tahap persaingan serta tekanan ke atas margin bagi syarikat-syarikat di bawah liputan.

“Dalam masa yang sama, peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (xEV) sedang mempelbagaikan struktur pasaran, sekali gus memperkenalkan dinamik persaingan dan harga yang baharu kepada segmen kenderaan penumpang tradisional.

“Persaingan harga yang semakin sengit dijangka terus menekan margin keuntungan, justeru sebarang peningkatan bahagian pasaran berkemungkinan dicapai dengan pengorbanan dari segi keuntungan,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securites berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan TIV bagi Disember 2025 melonjak 23.4 peratus bulan ke bulan kepada paras tertinggi rekod sebanyak 90,700 unit, disokong oleh promosi agresif hujung tahun serta penghantaran tertunggak. 

Menurutnya, prestasi bulanan yang kukuh ini telah meningkatkan TIV bagi keseluruhan tahun 2025 kepada 820,752 unit, melebihi unjuran MAA sebanyak 780,000 unit serta anggaran firma itu iaitu 800,000 unit.

“Jualan kenderaan penumpang meningkat 21.7 peratus bulan ke bulan kepada 73,400 unit, manakala jualan kenderaan komersial melonjak 45.5 peratus kepada 8,800 unit, walaupun daripada asas perbandingan yang rendah,” ujarnya.

Tambahnya, jualan xEV melonjak 52.2 peratus tahun ke tahun kepada 69,400 unit pada 2025, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam kedua-dua segmen. 

“Jualan kenderaan hibrid (HV) meningkat 25.0 peratus kepada 38,500 unit, manakala kenderaan elektrik (EV) mencatat pertumbuhan lebih dua kali ganda, melonjak 108.9 peratus kepada 30,800 unit,” jelasnya.

TA Securites mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas BAuto dengan harga sasaran (TP) RM0.57, MBM Resources Bhd (TP: RM4.60) dan Sime Darby Berhad (TP: RM1.97). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN