BERMULA daripada usaha membantu perniagaan kecil keluarga, sebuah idea ringkas kini berkembang menjadi penyelesaian teknologi makanan yang memberi manfaat kepada ribuan pengusaha bakeri dan perusahaan mikro di seluruh negara.
Diasaskan pada 2022 oleh jurutera, Juwaidy Suhaimi, kuemue lahir daripada cabaran sebenar yang dihadapi abangnya yang mengusahakan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan.
Katanya, proses pengeluaran yang manual sepenuhnya bukan sahaja memperlahankan kerja, malah mengehadkan kemampuan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Pada awalnya saya hanya bina satu alat ringkas untuk bantu kurangkan kesesakan kerja. Tiada niat pun untuk jual. Tetapi apabila kami kongsikan secara dalam talian, sambutannya sangat luar biasa. Daripada situ, saya menyedari wujud jurang besar dalam industri pengeluaran makanan tempatan.
“Mesin industri terlalu mahal untuk pengusaha kecil, manakala peralatan domestik pula tidak cukup lasak untuk kegunaan komersial. Dengan latar belakang kejuruteraan, saya melihat peluang untuk membangunkan teknologi separa automasi yang praktikal, tahan lasak dan mampu milik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada peringkat awal, kuemue menumpukan kepada penghasilan gajet bakeri untuk kegunaan di rumah.
Namun, pertumbuhan jenama itu membuka lembaran baharu apabila semakin ramai pemilik perniagaan kecil menghubungi mereka, mencari peralatan berkapasiti lebih besar yang sesuai untuk operasi harian.
“Peralihan ini berlaku secara semula jadi. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mahu tingkatkan pengeluaran tetapi tidak mampu melabur dalam mesin industri. Jadi kami bangunkan peralatan separa automasi khusus untuk skala kecil,” jelasnya.
Perubahan itu menuntut peningkatan dari segi bahan, ketahanan komponen, piawaian keselamatan makanan serta kawalan kualiti.
Mengulas lanjut, Juwaidy berkata, kuemue turut memperkukuh pasukan dengan tenaga kerja khusus, sekali gus mengubah kedudukannya daripada sekadar jenama gajet pengguna kepada rakan produktiviti kepada perniagaan makanan kecil.
“Antara inovasi utama kuemue ialah siri mesin separa automasi Bakineer, yang membantu mengurangkan kerja manual dalam proses berulang seperti membentuk dan membahagi doh.
“Mesin ini membolehkan pengusaha menghasilkan produk yang seragam tanpa bergantung sepenuhnya kepada kemahiran individu.
“Matlamat kami ialah membawa tahap produktiviti industri kepada PKS, tetapi dalam bentuk yang mudah digunakan dan mampu milik,” katanya.
Selain meningkatkan kecekapan, penggunaan mesin separa automasi juga membantu aspek kebersihan dengan mengurangkan sentuhan manusia, sekali gus memendekkan masa pengeluaran dan menjimatkan sumber tenaga serta buruh.
Dari sudut kelestarian, kuemue menekankan reka bentuk tahan lama dan penggunaan bahan gred makanan bagi mengurangkan keperluan penggantian kerap.
Mesin yang bersaiz sesuai untuk PKS juga mengelakkan penggunaan tenaga berlebihan, sekali gus membantu pengusaha kecil mengamalkan operasi lebih mampan.
Tambah Juwaidy, kebergantungan kepada proses manual menyukarkan penskalaan, menjejaskan konsistensi dan meningkatkan risiko kebersihan, terutama dalam situasi kekurangan tenaga kerja.
“Justeru, automasi separa pada peringkat kritikal seperti pembentukan dan pembahagian mampu memberi impak besar terhadap kapasiti harian.
“Sehingga kini, kuemue telah melayani lebih seribu pengguna, termasuk pelanggan dari luar negara, dengan pertumbuhan pesanan didorong oleh bakeri kecil dan pengusaha makanan yang baru beralih daripada proses manual,” katanya.
Melihat ke hadapan, Juwaidy membayangkan kuemue sebagai platform teknologi pengeluaran makanan berskala kecil yang lebih pintar, termasuk penggunaan sensor, data dan keupayaan dapur pintar.
“Kami mahu automasi separa menjadi norma untuk pengeluaran kecil, bukan sesuatu yang eksklusif untuk kilang besar,” katanya.
Beliau turut berkongsi cabaran minda terbesar dalam membina syarikat adalah meninggalkan pendekatan ‘pengasas buat semua’ dan beralih kepada pembinaan sistem serta proses yang boleh diskalakan.
“Nasihat saya kepada usahawan tempatan, bina sistem lebih awal, berani melepaskan kawalan dan jangan tunggu semuanya sempurna. Pertumbuhan berlaku ketika kita belajar sambil berkembang,” katanya.
Dengan pendekatan praktikal dan berfokuskan PKS, kuemue membuktikan teknologi tidak semestinya rumit atau mahal, sebaliknya boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan mampan usahawan kecil. – UTUSAN










