SEPANG: Sebanyak 99 penunggang di negara ini menjadi satu-satunya pemilik skuter Lambretta X300 CASA edisi terhad yang hanya dikeluarkan sebanyak 999 unit di seluruh dunia.
Mereka menerima skuter masing-masing yang disampaikan oleh pemilik jenama Lambretta, Walter Julius Albert Scheffrahn dalam satu majlis di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas di sini, baru-baru ini.
Harga skuter tersebut disenaraikan sebagai harga atas permohonan (POA) berikutan model itu jarang ditemui di Malaysia serta permintaan yang sangat tinggi.
Ia dengan pantas menjadi barangan koleksi, malah terdapat pemilik yang telah menaikkan nilai jualan semula sehingga RM48,000.
Walter turut menyertai himpunan terbesar pemilik Lambretta yang diiktiraf dalam Rekod ASEAN dan Rekod Asia serta mengetuai konvoi skuter buatan Itali itu mengelilingi SIC. – UTUSAN










