PETALING JAYA: Kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bergantung kepada keberkesanan sistem pengangkutan sebagai pemacu ekonomi dan bukan sekadar peranan sokongan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, potensi sebenar zon berkenaan hanya dapat direalisasikan melalui sistem pengangkutan yang cekap dan bersepadu.
“Ini walaupun JS-SEZ mencatatkan keyakinan pelabur yang kukuh dengan anggaran RM29.51 bilion daripada pelabur berpotensi antara Januari hingga September 2025 serta lebih RM37 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2025.
“Pengangkutan bertindak sebagai pemudah cara ekonomi strategik yang menentukan produktiviti, daya saing dan kebolehpercayaan sesebuah ekosistem ekonomi, selain menggerakkan manusia serta barangan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute di sini, semalam.
Anthony berkata, tekanan ke atas infrastruktur sedia ada di sempadan Johor-Singapura semakin ketara dengan anggaran 300,000 pergerakan keluar masuk dan 100,000 kenderaan menggunakan laluan rentas sempadan setiap hari.
Menurutnya, ia mencerminkan integrasi ekonomi telah mendahului kepelbagaian sistem pengangkutan.
“Situasi ini menuntut pelaburan strategik bagi mempelbagaikan mod pengangkutan, mengurangkan kesesakan dan memastikan infrastruktur yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan pertumbuhan JS-SEZ.
“Sehubungan itu, Projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link) disifatkan sebagai tonggak utama transformasi mobiliti rentas sempadan, dengan kapasiti 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah yang menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands.
“RTS Link bukan sekadar projek rel, tetapi pemboleh daya ekonomi struktur yang mengurangkan ketidaktentuan masa perjalanan, kesesakan sempadan dan kos produktiviti akibat perjalanan harian,” ujarnya.
Beliau berkata, RTS Link membolehkan JS-SEZ berfungsi sebagai satu ekosistem tenaga kerja dan perniagaan bersepadu, sekali gus meluaskan kumpulan bakat efektif yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat di kedua-dua negara.
“Dalam masa sama, perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan sedia ada seperti bas dan teksi kekal penting, khususnya bagi menyokong sasaran menarik 22 juta pelawat dari Singapura.
“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Singapura adalah destinasi utama eksport perkhidmatan Malaysia pada 2024 dengan sumbangan RM58.5 bilion, didorong terutamanya oleh perkhidmatan pelancongan dan pengangkutan.
“Ini membuktikan bahawa kecekapan pengangkutan mempunyai hubungan langsung dengan prestasi pelancongan, perdagangan perkhidmatan dan aktiviti ekonomi domestik,” katanya. – UTUSAN










