Senheng peruntuk lebih RM10 juta pada 2026, perkenal model PBE - Utusan Malaysia

Senheng peruntuk lebih RM10 juta pada 2026, perkenal model PBE

LIM Kim Heng (tengah) bersama pengurusan tertinggi Senheng ketika taklimat media di Grand Senheng Pandan Jaya, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Senheng New Retail Berhad memperuntukkan lebih RM10 juta bagi pelaburan teknologi pada 2026 sebagai sebahagian daripada strategi transformasi perniagaan terbaharunya dalam memperkukuh daya saing dan kelestarian operasi kumpulan.

Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, pelaburan berterusan dalam teknologi adalah keperluan asas bagi peruncit moden, khususnya dalam persekitaran runcit yang semakin mencabar dan berdaya saing.

“Setiap tahun kami perlu melabur dalam jumlah yang besar kerana sistem kami semakin kompleks. Kami mempunyai 17 modul utama dengan lebih 130 sub-modul dan setiap modul memerlukan kos pembangunan serta penyelenggaraan yang tinggi. 

“Dalam tempoh jangka panjang, Senheng telah membelanjakan lebih RM30 juta sepanjang 10 tahun lalu bagi membangunkan New Retail System (NRS) 2.0, yang menjadi tulang belakang kepada operasi digital kumpulan, merangkumi pengurusan pelanggan, inventori, logistik dan storan data,” katanya pada taklimat media di Grand Senheng Pandan Jaya, hari ini. 

Pada majlis sama, Senheng turut memperkenalkan Transformasi ke-9 Kumpulan, iaitu Model Perniagaan Ekonomi Berasaskan Mata (PBE) yang direka untuk menjadikan S-Coin sebagai enjin utama ganjaran dan penglibatan pelanggan.

Mengulas lanjut, Kim Heng berkata, model PBE merupakan sebahagian daripada strategi Hala Tuju Perniagaan Flywheel 2.0 2026, yang bertujuan membina semula permintaan, meningkatkan prestasi digital, mengukuhkan margin keuntungan serta mempertingkat kecekapan operasi dalam landskap runcit yang sangat kompetitif.

“Flywheel 2.0 merangkumi enam dimensi utama dan 30 inisiatif strategik yang saling berkaitan, termasuk pengukuhan enjin trafik, percepatan penjanaan pendapatan, peningkatan kesetiaan pelanggan, penambahbaikan kualiti margin serta kecekapan operasi. Kesemua inisiatif ini direka untuk saling menyokong dan mewujudkan kitaran pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.

“Bagi merangsang permintaan dan meningkatkan jumlah pengunjung, Senheng mempercepatkan pengeluaran S-Coin, melaksanakan kempen pemasaran berimpak tinggi seperti “Untung Gila”, mengukuhkan peranan Super Store serta mengembangkan perdagangan sembang dan saluran afiliasi. 

“Usaha ini menyokong pembelian berulang dan memperdalam penglibatan pelanggan merentasi saluran fizikal dan digital,” katanya. 

Dalam aspek digital, kumpulan memberi tumpuan kepada peningkatan kadar penukaran dan kebolehpercayaan menerusi kesediaan pemenuhan yang lebih baik, penggunaan data secara lebih menyeluruh serta integrasi kukuh dalam ekosistem omnichannel. 

Pada masa sama, langkah pengukuhan margin dilaksanakan melalui pengoptimuman kedai kurang berprestasi, penskalaan jenama pengedaran langsung dan pengembangan ke dalam kategori produk bermargin tinggi.

Tambah beliau, PBE mencerminkan pendekatan yang berdisiplin dan berstruktur dalam usaha membina semula permintaan serta meningkatkan kualiti pendapatan syarikat.

“Ia merupakan langkah penting dalam transformasi seterusnya Senheng dan mencerminkan keyakinan kami bahawa model ini mampu membentuk semula cara industri runcit elektronik pengguna mencipta dan mengekalkan nilai,” tambahnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Korporat Senheng New Retail Berhad, Lim Yau Young berkata, PBE memainkan peranan kritikal dalam menjayakan Flywheel 2.0, khususnya dalam meningkatkan nilai sepanjang hayat pelanggan dan mengurangkan kos pemerolehan.

“Dengan daya tahan margin yang lebih kukuh, kami meletakkan asas yang lebih mampan untuk pertumbuhan masa hadapan sambil mengekalkan tahap kepuasan pelanggan yang tinggi.

“Walaupun kos teknologi semakin meningkat, pelaburan berterusan adalah satu keperluan strategik bagi memastikan Senheng kekal relevan, tangkas dan berdaya tahan dalam ekonomi digital yang terus berubah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN