Sektor tenaga diperbaharui kekal positif tahun ini

Sektor tenaga diperbaharui kekal positif tahun ini

HLIB me­ngekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor TBB, disokong oleh tema struktur jangka panjang dan kitaran pertumbuhan pendapatan yang positif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor tenaga boleh diperbaharui (TBB) dan utiliti di Malaysia kekal positif tahun ini, disokong peningkatan penggunaan modal, penetapan semula rangka kerja kawal selia serta momentum penyahkarbonan korporat yang semakin kukuh.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, selepas melalui tempoh turun naik akibat gangguan operasi dan peralihan dasar, tahun ini dijangka pendapatan lebih jelas, pemacu permintaan yang lebih stabil serta kitaran baharu penganugerahan projek merangkumi segmen TBB dan utiliti terkawal.

“Kami turut menyifatkan tahun ini sebagai titik perubahan penting bagi sektor tersebut, dipacu skala projek yang lebih besar, kemajuan teknologi serta usaha pengoptimuman kos,” menurut nota penyelidikannya. 

Bank pelaburan berkata, peluang tenaga berskala utiliti dijangka meningkat, didorong oleh pelaksanaan program Large Scale Solar 5+ (LSS5+), LSS6, program tarif galakan (FiT) 2.0 berkapasiti 300 megawatt, selain lebih banyak projek sistem penyimpanan tenaga bateri (Bess) kendiri.

“Tiga program utama ini sahaja berpotensi menjana kira-kira RM20 bilion peluang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC),” katanya. 

HLIB turut melihat perkembangan positif dalam Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (Cress), dengan jangkaan tahun ini akan menyaksikan pelaksanaan, khususnya dalam kalangan pengendali pusat data (DC) yang berpotensi mengurangkan kos elektrik seunit sehingga lima peratus. 

“Pusat data sebagai faktor utama yang memacu permintaan tenaga, sejajar dengan lonjakan pelaburan kecerdasan buatan (Al) yang memerlukan kapasiti tenaga tinggi dan stabil.

“Perlumbaan Al yang memerlukan modal besar dijangka mendorong penggunaan Cress yang lebih meluas dengan lebih banyak pusat data berskala besar menghampiri fasa siap di Malaysia tahun ini,” katanya. 

Walaupun pembelian tenaga hijau oleh korporat semakin mendapat sambutan, HLIB berkata,  permintaan terhadap Cress masih berpotensi untuk berkembang lebih kukuh kerana skim tersebut menawarkan manfaat berganda, iaitu pengurangan kos elektrik yang dibekalkan serta pematuhan kepada sasaran kelestarian.

“Sehubungan itu, HLIB me­ngekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor TBB, disokong oleh tema struktur jangka panjang dan kitaran pertumbuhan pendapatan yang positif,” katanya. 

Pemangkin utama sektor termasuk pelancaran kontrak baharu, penambahan kuota TBB serta kesinambungan dasar sokongan kerajaan, walaupun HLIB mengingatkan mengenai risiko pelaksanaan projek dan kemungkinan kelewatan pembinaan pusat data.

“Kami turut mengulangi saranan beli ke atas Solarvest Holdings Bhd. dan Gamuda Bhd., berdasarkan kedudukan strategik kedua-dua syarikat itu untuk memanfaatkan kitaran peningkatan buku pesanan yang didorong oleh projek berskala besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN