PETALING JAYA: Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten) menyemak naik unjuran Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tahun ini kepada 1,810 mata berbanding sasaran sebelumnya sebanyak 1,730 mata.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin berkata, langkah semakan semula itu adalah susulan daripada aliran masuk dana asing sebagai salah satu faktor, serta peningkatan keuntungan korporat yang lebih baik, iaitu 7.1 peratus untuk tahun ini.
“Sudah pasti, sektor-sektor yang akan menyokong aliran menaik ini ialah sektor-sektor berkapital besar seperti bank, perladangan dan telekomunikasi,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media secara maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku pertama.
Mengulas mengenai prestasi ringgit, beliau berkata, Rakuten menjangkakan mata wang tempatan akan melalui proses penyesuaian semula dan diunjur bergerak dalam julat RM3.80 hingga RM4 berbanding dolar AS tahun ini.
“Ia disokong oleh kelembapan ekonomi AS yang mungkin mendorong kepada lebih banyak pemotongan kadar faedah serta penjualan aset berdenominasi AS dolar, khususnya bon Perbendaharaan AS.
“Sementara itu, pengukuhan terkini ringgit berbanding dolar AS bukanlah suatu kebetulan dan kami percaya ia berpotensi untuk menembusi paras RM4 pada masa akan datang.
“Pergerakan ini adalah penting kerana ia merupakan salah satu pemangkin utama kepada pasaran ekuiti,” ujarnya.
Kenny berkata, RM3.80 ialah paras yang menarik kerana ia merupakan kadar di mana ringgit dipautkan semasa kawalan mata wang beberapa tahun lalu.
Jelasnya, apabila ringgit benar-benar lemah, ia tidak mencerminkan asas ekonomi negara.
“Keadaan itu lebih disebabkan oleh spekulator mata wang dan sifat ringgit yang tidak diniagakan secara antarabangsa, sehingga pada satu ketika seolah-olah dimanipulasi hampir mencecah paras RM4.80.
“Kini, dengan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif serta potensi aliran masuk pelaburan langsung asing, permintaan terhadap ringgit dijangka meningkat.
“Oleh itu, keyakinan terhadap ringgit untuk menembusi paras bawah RM4 berbanding dolar AS adalah tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap dapat melihat pegangan saham asing di Bursa Malaysia dapat meningkat kepada julat 25 hingga 30 peratus, sekali gus menandakan keyakinan baharu terhadap pasaran Malaysia.
Menurutnya, pegangan asing ketika ini kekal stabil pada sekitar 19 peratus walaupun berlaku aliran keluar bersih yang besar baru-baru ini.
“Sehubungan itu, kita boleh menegaskan bahawa lebih ramai pelabur asing jangka panjang telah kembali, manakala majoriti penjual adalah ‘pelancong sehari’.
“Sepanjang dekad lalu, dana asing cenderung menjauhi pasaran Malaysia, menyebabkan pegangan mereka merosot daripada kira-kira 25 peratus kepada kurang daripada 20 peratus.
“Pada masa hadapan, saya berharap untuk melihat pegangan saham asing meningkat melebihi 25 peratus, berpotensi mencapai 30 peratus,” katanya. – UTUSAN










