Proton perkenal e.MAS 7 Kategori A COE di Singapura

Proton perkenal e.MAS 7 Kategori A COE di Singapura

VINCENT Tan (kiri) bersama bersama Naib Presiden Perbadanan Antarabangsa Proton, Will Wan Wei(tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vincar, Ernest Tan pada majlis pelancaran Proton e.MAS 7 100kW di Singapore Motorshow.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton memperkenalkan varian baharu Proton e.MAS 7 100kW di Singapore Motorshow, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) serantau.

Varian 100kW ini dibangunkan khusus untuk pasaran luar negara bagi memenuhi keperluan Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) Kategori A di Singapura, membolehkan ia ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif tanpa menjejaskan aspek utama seperti prestasi, keselamatan dan kebolehgunaan. 

Proton berkata, model itu sebelum ini muncul sebagai EV terlaris di Malaysia pada tahun 2025, menjadikannya tunjang kepada strategi pengembangan EV Proton berasaskan eksport.

“Kemasukan varian 100kW ini menandakan fasa seterusnya pengembangan Proton di Singapura selepas sambutan memberangsangkan terhadap varian e.MAS 7 160kW sejak kepulangan jenama itu ke pasaran republik tersebut pada 2025. 

“Strategi ini sejajar dengan pertumbuhan pesat penggunaan EV di Singapura, di mana insentif kos menjadikan EV lebih menarik berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE),” katanya dalam kenyataan. 

Langkah ini juga menyokong sasaran jangka panjang Proton untuk mencapai jualan 330,000 unit menjelang 2030, dengan 30 peratus disumbangkan oleh pasaran eksport.

Proton e.MAS 7 menampilkan kekuatan teras dari segi reka bentuk, teknologi pintar dan keselamatan, disokong oleh rangkaian pusat 3S dan 4S yang komprehensif bagi meningkatkan keyakinan pengguna baharu EV. 

Dengan pencapaian 92.57 mata ASEAN NCAP, tertinggi dalam segmennya, model ini telah mengukuhkan kredibiliti jenama e.MAS dan membuka laluan kepada pelancaran model EV seterusnya seperti Proton e.MAS 5.

Pada tahun 2025, Proton merekodkan eksport sebanyak 6,000 unit, dengan jualan menunjukkan pertumbuhan ketara. 

Walaupun e.MAS 7 merupakan model ketiga paling popular dari segi jumlah eksport, kehadirannya memainkan peranan penting dalam membolehkan Proton kembali ke pasaran bernilai tinggi seperti Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, pengenalan varian 100kW ini membuktikan keupayaan Proton menyesuaikan produk dengan keperluan peraturan tempatan dan permintaan pasaran. 

“Bagi tahun 2026, kami merancang untuk meningkatkan jualan eksport dengan mengukuhkan kehadiran di pasaran sedia ada, meneroka pasaran baharu serta memperkenalkan barisan model ICE dan EV terkini,” katanya.

Varian Proton e.MAS 7 100kW dipamerkan di Singapore Motorshow dari 8 hingga 11 Januari, dengan pelanggan yang membuat tempahan sepanjang pameran tersebut layak menerima rebat pengenalan khas sebanyak 6,000 dolar Singapura (RM19,000).

Pelancaran rasmi tersebut disempurnakan oleh Naib Presiden Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Will Wan Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif VINCAR Group,  Vincent Tan, sekali gus mencerminkan kerjasama strategik berterusan antara Proton dan rakan pengedarnya di Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN